Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan memutuskan esok mengenai taksiran ganti rugi kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menang saman fitnah terhadap pengarang buku "50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM".

Hakim Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah daripada salah seorang peguam bekas Timbalan Perdana Menteri itu, Sulaiman Abdullah.

Anwar, 58, menamakan Abdul Khalid @ Khalid Jafri Bakar Shah sebagai defendan pertama sementara isterinya, Rozihan A.Ghani (yang disaman bagi pihak syarikat penerbitan itu, Media Pulau Lagenda) sebagai defendan kedua.

Anwar menfailkan saman itu pada 18 Jun 1998 di mana beliau mendakwa kandungan buku itu palsu dan pengarang itu dan isterinya berkonspirasi dengan musuh politik beliau untuk memfitnahnya dengan menuduh antara lain Anwar homoseksual, pemimpin rasuah, terbabit dengan zina dan mempunyai anak luar nikah dan pengkhianat.

Berikutan itu, Anwar dalam testimoninya semalam, meminta defendan membayarnya kerana fitnah yang menyebabkan tuduhan dalam buku itu membawa kesengsaraan yang teruk terhadap dirinya dan keluarganya.

Sulaiman, dalam hujahnya hari ini, berkata Anwar sepatutnya dibayar RM500,000 bagi setiap lapan tuduhan memfitnah dalam buku itu, RM500,000 untuk konspirasi, RM1 juta ganti rugi teruk dan RM1 juta sebagai ganti rugi teladan. Kesemuanya berjumlah RM6.5 juta.

Katanya, defendan bukan hanya mengaku menulis dan menerbitkan buku itu, tetapi juga mengaku mengedar buku berkenaan pada Perhimpunan Agung Umno pada Jun 1998.