Forum khas anjuran Majlis Tertinggi Umno (MT) baru-baru ini telah menolak cadangan supaya pemilihan pucuk pimpinan parti itu dilakukan di peringkat bahagian kerana sistem yang diamalkan sekarang adalah yang terbaik untuk Umno, kata ahli MT Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik.

Menurut Abdul Rahim, setiap Umno negeri menghantar lima wakil menghadiri forum khas tersebut untuk membincangkan cadangan mengadakan pemilihan pucuk pimpinan parti di peringkat bahagian.

"Kita memberitahu, untuk mengadakan pemilihan di bahagian, perwakilan perlu ditambah dari tujuh sekarang kepada 20 atau 30 orang. (Ini) kerana kita perlu mendapat sekurang-kurangnya 10,000 perwakilan, baru cadangan ini ok.

"Bagaimanapun, cadangan (Naib Presiden, Tan Sri) Muhyiddin (Yasin) itu ditolak kerana Umno belum sampai ke tahap itu. Parti puashati dengan sistem pemilihan yang ada sekarang," katanya dalam wawancara khas dengan malaysiakini baru-baru ini.

Abdul Rahim terpaksa meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka dan Ketua Pemuda Umno selepas terbabit dengan isu seks pada tahun 1994. Selepas melalui episod `perbicaraan' yang panjang, mahkamah mendapati beliau tidak bersalah.

Pada pemilihan Umno tahun lalu, Abdul Rahim menduduki tempat ke-14 kerusi Majlis Tertinggi (MT) satu kejayaan yang cukup besar memandangkan beliau tidak memegang sebarang jawatan di peringkat bahagian.

Malaysiakini: Tan Sri tidak memegang apa-apa jawatan dalam Umno selain Majlis Tertinggi (MT), apakah sumbangan yang boleh diberikan kepada parti dan negara?

Abdul Rahim: Saya boleh memberi sumbangan berdasarkan pengalaman saya dalam parti dan kabinet. Saya pernah menjadi Ketua Menteri Melaka selama 12 tahun, Ketua Pemuda Umno dan kini sebagai ahli MT.

Saya akan membantu Umno, saya akan membantu Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memperkasakan oorang Melayu. Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pernah berkata, beliau boleh menukar Malaysia tetapi tidak boleh menukar minda orang Melayu.

Apakah Tan Sri menukar minda orang Melayu sama seperti yang dilakukan di Melaka semasa menjadi Ketua Menteri dulu?

Melaka adalah sebuah negeri yang mundur, nombor dua termiskin selepas Kelantan. Saya mengasaskan pembangunan moden Melaka. Dari negeri sleeping hollow, Melaka kini berada dalam kedudukan keempat atau kelima di Malaysia.

Lim Guan Eng telah kembali semula ke arena politik. Apakah ia akan memberi kesan kepada politik Melaka khususnya ?

Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Mohd Ali Rustam sedang bekerja keras untuk memenuhi janjinya kepada rakyat Melaka yang pelbagai kaum. Guan Eng tidak memberi kesan yang besar walaupun Melaka pernah menjadi kubu terkuat DAP.

Selagi Umno bersatu, dan parti bukan Umno dalam Barisan Nasional (BN) bersama dan bersatu, Umno akan terus memerintah Melaka. Saya berharap (Tan Sri) Mohd Ali akan meneruskan usaha yang baik untuk negeri itu.

Orang ramai bercakap mengenai rasuah politik dalam Umno. Mengapa perkara ini berlaku?

Orang Melayu sudah kaya. Mereka membeli undi untuk cepat naik. Ini bukanlah satu budaya dalam Umno.

Baru-baru ini bekas Timbalan Presiden Umno, Tun Ghafar Baba menghantar memorandum kepada Perdana Menteri mengenai permintaan supaya menjadikan Umno lebih demokrasi. Apakah yang dilakukan oleh MT mengenai perkara tersebut?

MT telah membincangkan beberapa perkara dalam cadangan (Tun) Ghafar dalam mesyuaratnya sebelum ini. Mungkin sebahagian daripada cadangan itu akan diambil perhatian oleh parti. Bagaimanapun, setahu saya, tidak ada keputusan yang dibuat.

(Tun) Ghafar mahu sistem kuota untuk bertanding jawatan dihapuskan. Ini sebenarnya cadangan beliau semasa menjadi Timbalan Presiden Umno dahulu. Umno ada kebijaksanaan untuk mengukur prestasi dan memilih calon. Kita ada kuasa untuk menaik dan menurunkan pemimpin.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan yang juga Naib Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yasin mencadangkan supaya pemilihan dibuat di peringkat bahagian. Bagaimana perkembangannya sekarang?

Kami (MT) telah mengadakan forum khas mengenai perkara itu di Putrajaya baru-baru ini.Setiap negeri menghantar lima wakil dan dibahagikan kepada empat kumpulan. Kita memberitahu, untuk mengadakan pemilihan di bahagian, perwakilan perlu ditambah dari tujuh sekarang kepada 20 atau 30 orang. (Ini) kerana kita perlu mendapat sekurang-kurangnya 10,000 perwakilan, baru cadangan ini ok.

Bagaimanapun, cadangan Muhyiddin itu ditolak kerana Umno belum sampai ke tahap itu. Parti puashati dengan sistem pemilihan yang ada sekarang.