Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bunyi siren bukan tanda Empangan Babagon berbahaya
Diterbitkan:  Aug 17, 2017 6:29 AM
Dikemaskini: 10:35 PM

Siren dari Empangan Babagon di Penampang yang berbunyi secara automatik apabila paras airnya melebihi paras 130.50 meter bukan bermakna empangan itu berada dalam keadaan bahaya.

Jabatan Air Sabah berkata bunyi itu sebenarnya untuk memaklumkan dan memberi amaran kepada penduduk kampung di bahagian hilir supaya tidak mendekati sungai dan mandi-manda atau menangkap ikan di kawasan berkenaan kerana mereka mungkin cedera apabila air merempuh masuk ke saluran limpahan.

“Apabila paras air empangan ini melepasi 130.50 meter, siren akan berbunyi sebelum ia melimpah. Tetapi, ini tidak bermakna empangan berkenaan berada dalam keadaan bahaya. Air dari empangan itu akan melimpah secara selamat apabila penuh,” kata jabatan itu dalam kenyataan semalam.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan kebimbangan orang ramai yang mendapat maklumat tidak betul yang tersebar dalam media sosial bahawa Empangan Babagon melepaskan air menyebabkan siren berbunyi di sepanjang Sungai Moyog.

Menurut kenyataan itu, fungsi empangan berkenan bukan sahaja untuk menakung air mentah malah membantu mengurangkan aliran air di Sungai Moyog sebanyak 15 peratus.

Empangan itu menakung sehingga 23,780 juta liter air pada satu-satu masa daripada jumlah yang mengalir melalui Sungai Babagon ke Sungai Moyog walaupun ketika hujan berterusan.

“Pada 3 petang tadi, paras air di Empangan Babagon adalah kira-kira 130.05 meter. Paras limpahnya ialah 130.50 meter,” kata kenyataan itu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS