Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
MP: Salah paksa suspek pakai baju lokap
Diterbitkan:  Aug 17, 2017 12:30 PM
Dikemaskini: 7:35 AM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertindak menyalahi undang-undang apabila memaksa individu yang ditahan atas siasatan rasuah memakai pakaian lokap berwarna oren, kata Anggota Parlimen Padang Serai N Surendran.

Dalam satu kenyataan, anggota parlimen PKR itu merujuk penahanan berprofil tinggi anggota exco Pulau Pinang, Phee Boon Poh dan bekas pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad.

"Phee dan Isa dibawa ke mahkamah, memakai pakaian seragam lokap SPRM berwarna oren.

"Amalan ini melanggar prinsip bahawa seseorang tidak bersalah sehingga terbukti bersalah dan dengan itu menyalahi undang-undang serta melanggar Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan," kata Surendran.

Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan menyebut mengenai kebebasan individu.

Menurut Surendran, seseorang yang ditangkap untuk memudahkan siasatan mesti dibenarkan memakai pakaiannya sendiri dan bukan pakaian seragam yang disediakan pihak berkuasa yang menahannya.

Suspek boleh tolak

Seseorang yang diminta berpakaian sedemikan boleh menolaknya dari sudut undang-undang, katanya.

"Dipaksa memakai pakaian berwarna oren yang terang dan diarak di premis mahkamah adalah menghina orang yang ditangkap dan mencetuskan tanggapan bahawa dia memang salah atau melakukan jenayah, walaupun mahkamah belum memutuskan bersalah.

"Gambar dan video orang yang ditahan memakai pakaian ini disiarkan di akhbar dan televisyen, dengan itu memalukan individu ini yang masih belum bersalah dari sudut undang-undang," katanya.

Beliau menambah polis juga "menyalahi undang-undang" apabila mengiringi suspek yang ditahan dengan memakai seragam polis.

Undang-undang mana, soal SPRM

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad ketika ditanya pemberita bertanya kembali undang-undang mana yang dirujuk oleh Surendran itu.

“Di mana undang-undang atau kes undang-undang yang sebut begitu?” katanya dalam sidang media di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) di Gombak hari ini.

Diasak pengamal media, beliau berkata sesiapa yang tidak setuju dengan perkara itu boleh membawanya ke mahkamah.

“Jika langgar perlembagaan, pergi ke mahkamah dan cabarlah kami,” katanya.

Lihat Komen
ADS