Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memberi gantirugi RM4.5 juta kepada bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana fitnah yang dibuat oleh penulis Datuk Khalid Jafri dalam bukunya '50 dalil mengapa Anwar tak boleh jadi PM'.

Hakim Datuk Hishamuddin Mohd Yunus membuat keputusan itu pagi ini.

Semalam, beliau mendengar hujah panjang lebar dari peguam Anwar, Sulaiman Abdullah yang memberitahu mahkamah bahawa jumlah yang besar itu wajar kerana 'buku tersebut penuh dengan pembohongan'.

Khalid, 65, yang nama penuhnya Khalid Jafri Bakar Shah, menulis buku itu yang diterbitkan oleh isterinya Rozihan Abdul Ghani.

Sulaiman juga memberitahu mahkamah semalam bahawa pelanggannya menuntut gantirugi berjumlah RM6.5 juta bagi lapan tuduhan memfitnah dalam buku itu, konspirasi politik, gantirugi teruk dan ganti rugi teladan.

Khalid tenat

Anwar masih lagi menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika beliau menfailkan samannya itu pada tahun 1988 terhadap Khalid dan Rozihan atas dakwaan memfitnah.

Katanya, buku tersebut telah diedarkan pada Perhimpunan Agung Umno pada Jun 1998. Sejurus selepas itu, Anwar dipecat atas dakwaan terbabit dalam salahlaku seks, tetapi beliau mendakwa tuduhan tersebut adalah sebahagian daripada konspirasi politik terhadapnya.

Awal bulan ini, Mahkamah Sesyen Ampang telah menjatuhkan hukuman setahun penjara ke atas Khalid kerana menulis maklumat palsu dalam bukunya itu, yang antara lain, mendakwa Anwar homoseksual, pemimpin rasuah, terbabit dengan zina dan mempunyai anak luar nikah dan pengkhianat.

Mahkamah juga memutuskan sebelum ini yang anak tersebut adalah anak sah kepada bekas setiausaha sulit Anwar, Mohamad Azmin Ali.

Khalid kini sedang menjalani rawatan di hospital dan dilaporkan dalam keadaan tenat akibat penyakit kencing manis yang dihidapinya. Kaki kanannya telah dipotong dan dia kini diberi bantuan pernafasan.