Malaysiakini
BERITA

Cikgu didakwa cabul murid dalam tandas sekolah

Bernama

Diterbitkan
Dikemaskini 17 Ogs 2017, 6:51 pagi

Seorang guru lelaki di sebuah sekolah rendah didakwa di Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-kanak di Putrajaya hari ini atas pertuduhan melakukan seksual fizikal terhadap murid lelaki berumur sembilan tahun,

Guru yang berumur 27 tahun itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan seksual fizikal dengan cara memeluk tubuh badan dan mencium murid itu di dalam tandas, di sebuah sekolah di Petaling Jaya, antara jam 12.20 tengah hari hingga 6.30 petang, antara bulan Ogos 2016 hingga 17 Julai 2017.

Dia didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dibaca bersama Seksyen 16 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 25 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Hakim Yong Zarida Sazali membenarkan tertuduh yang diwakili peguam Farhan Read diiikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan dia dilarang mendekati dan menganggu mangsa dan keluarganya sehingga kes selesai.

Mahkamah juga memerintahkan tertuduh melaporkan diri di balai polis berhampiran pada setiap awal bulan serta menyerahkan pasportnya kepada mahkamah dan menetapkan 25 Sept untuk sebutan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Nordalina Ali tidak menawarkan jaminan atas alasan kesalahan itu serius melibatkan mangsa berumur sembilan tahun.

“Tertuduh adalah guru tempat mangsa bersekolah, jika jaminan dibenarkan dikhuatiri tertuduh akan menganggu saksi pendakwaan terutama mangsa dan ibu bapanya,” katanya.

Farhan pula memohon supaya mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin RM10,000 dan ibu bapa tertuduh bersedia untuk membayar jaminan itu.

“Kami tidak pertikaikan ini merupakan satu kesalahan serius, tetapi tertuduh hanya dituduh dan masih belum didapati bersalah, oleh itu mahkamah mempunyai budi bicara untuk membenarkan jaminan. Jumlah RM10,000 adalah memadai,” katanya.

Beliau berkata tertuduh yang tinggal dengan ibu bapanya menerima gaji RM1,600 sebulan.

-Bernama

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.