Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Perlis bebas sifat ekstrem dan pelampau agama'
Diterbitkan:  Aug 17, 2017 2:59 PM
Dikemaskini: 7:02 AM

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail melahirkan kesyukuran baginda kerana Perlis bebas daripada sifat ekstrem dan melampau dalam agama.

Titah baginda, Perlis sentiasa merujuk kepada al-Quran dan as-sunah untuk menentukan ukuran betul atau salah menurut kefahaman salafus soleh dengan mengambil manfaat khazanah ilmu yang luas apabila wujud isu yang menjadi pertikaian.

“Islam adalah agama yang mempunyai prinsip jelas serta sesuai dalam segala hal dan cabaran untuk memenuhi keperluan semasa umatnya,” titah baginda semasa merasmikan ‘Simposium Penerima Tauliah dan Penganugerahan Watikah Tauliah Mengajar Agama Islam di Perlis, Tahun 2017’ di Universiti Teknologi MARA Arau di Arau hari ini.

Tuanku Syed Faizuddin yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis menegaskan Perlis berpegang pada Ahli Sunah Waljamaah yang temaktub dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis dan merupakan negeri terawal mengamalkan mazhab tersebut.

Seramai 150 peserta menghadiri program tersebut yang dianjurkan oleh Jabatan Mufti Perlis.

Terdahulu diadakan ceramah bertajuk ‘Memahami Fatwa-fatwa Negeri Perlis’ yang disampaikan oleh Anggota Jawatakuasa Fatwa Perlis, Dr Rozaimi Ramli dan ‘Hala tuju Dakwah Pengajaran Agama Islam: Cabaran dan Persiapan Para Dai Masa Kini’ oleh pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) ustaz Ahmad Kamil Jamilin.

- Bernama

Lihat Komen
ADS