Saya tak ganggu kerajaan, kata Dr Mahathir
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menolak tanggapan kononnya beliau "masih mempengaruhi" pentadbiran sekarang tetapi menegaskan beliau perlu tampil membuat kenyataan apabila dikaitkan dengan sesuatu isu.
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menolak tanggapan kononnya beliau "masih mempengaruhi" pentadbiran sekarang tetapi menegaskan beliau perlu tampil membuat kenyataan apabila dikaitkan dengan sesuatu isu.
"Saya seorang pesara," katanya dalam satu wawancara dalam program "One On One" menerusi Channel NewsAsia (CNA) yang disiarkan malam tadi.
Dr Mahathir berkata, semasa berundur dahulu, beliau membuat ketetapan untuk tidak mengganggu kerajaan, kecuali jika dikaitkan dengan apa yang sedang dilakukannya seperti isu Proton sekarang.
Mengulas lanjut isu itu, Dr Mahathir yang juga penasihat Proton berkata, beliau mengambil pendirian melindungi kereta nasional itu kerana ia berdepan dengan saingan tidak adil.
Sebelum ini, beliau mendakwa pengeluaran tanpa kawalan Permit Import (AP) oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, mengakibatkan kereta murah dibawa masuk ke negara ini manakala amalan membuat perisytiharan harga yang lebih rendah daripada harga sebenar untuk kereta import, turut menjejaskan penjualan kereta nasional.
Beliau turut mempertikaikan kenapa kebanyakan AP itu dimonopoli oleh beberapa ahli perniagaan bumiputera tertentu.
Senarai penerima AP
Menurut laporan Bernama, ekoran kenyataannya itu, Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan satu senarai penerima AP antara tahun 2004 dan 2005.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Rafidah Aziz, yang mempertahankan cara AP itu dikeluarkan, telah dibidas semasa Perhimpunan Agung Umno lalu, dan kemudiannya diminta memohon maaf kepada Dr Mahathir dan yang terbaru, diminta meletak jawatan.
Ketika ditanya dalam wawancara dengan CNA itu sejauhmana seriusnya perbalahan beliau dengan Rafidah itu, Dr Mahathir berkata: "Tak serius. Saya hanya mahu perkara sebenar diketahui umum kerana saya dapati pengeluaran AP itu memberikan kesan buruk kepada Proton memandangkan ia menimbulkan persaingan tidak adil.
"Saya bukannya meminta permohonan maaf. Apa yang saja minta hanyalah fakta dan angka," katanya.
Dr Mahathir berkata, Proton mampu bersaing dengan kereta buatan asing sekiranya persaingan itu adil.
"Contohnya, kereta ini dibawa masuk dan harganya diisytiharkan lebih rendah kepada kastam, jadi ianya murah, dan oleh sebab itu, ianya boleh dijual pada harga diskaun berbanding Proton," katanya.
Sebaliknya, kata Dr Mahathir, Proton dibebani dengan syarat-syarat yang ditetapkan oleh kerajaan, seperti diminta memajukan vendor dan mewujudkan agensi-agensi Bumiputera dalam negara.
Bantu vendor tempatan
"Kesemua ini melibatkan kos yang besar kepada Proton, dan kerana itulah, ia tidak dapat menyaingi produk antarabangsa.
"Jika Proton dibenarkan membuat kereta tanpa mengambil kira sama ada komponen yang digunakan itu adalah tempatan atau dari mana saja, jika Proton tidak perlu membantu vendor tempatan, tak perlu terpaksa mewujudkan (ahli perniagaan) Bumiputera, maka ia mampu menyaingi kereta antarabangsa. Tak ada masalah," katanya.
Ketika hos CNA itu bertanya sama ada beliau akan membenarkan syarikat asing mengambil alih Proton, Dr Mahathir menjawab : "(Jika itu berlaku), maka ia bukan lagi kereta nasional."
Jika ia bukannya kereta nasional, ia tidak perlu memikul sebarang beban yang bersifat nasional, kata bekas Perdana Menteri itu sambil menjelaskan, keputusan itu perlu dibuat oleh kerajaan dan bukannya beliau.
Kepada satu soalan mengenai bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, iaitu sama ada tanggapan bahawa "dalam politik tidak ada musuh atau rakan yang tetap" itu boleh dikaitkan kepada beliau dan Anwar, Dr Mahathir berkata : "Kami belum sampai ke tahap kekal lagi."
Anwar telah merosakkan imej dirinya sendiri tanpa dapat dipulihkan lagi, katanya.
"Sesiapa yang menulis mengenai diri saya sering menyebut seolah-olah sayalah yang menyumbat beliau ke dalam penjara," kata Dr Mahathir.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.