Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahathir fail rayuan berhubung anggota RCI
Diterbitkan:  Aug 17, 2017 4:20 PM
Dikemaskini: 8:23 AM

Peguam yang mewakili Tun Dr Mahathir Mohamad memfailkan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini, yang menolak permohonan bekas perdana menteri itu untuk menyingkirkan dua anggota Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) terhadap kerugian pertukaran asing (forex) pada tahun 1990-an.

Peguam Mahathir, Mohd Haniff Khatri Abdulla berkata, pasukannya memfailkan notis rayuan dengan pendaftar Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur petang ini.

"Sekarang kita bergegas ke pendaftar Mahkamah Rayuan di Istana Kehakiman (di Putrajaya) untuk memfailkan notis usul dan mendapatkan sijil perakuan segera untuk melarang prosiding RCI yang bermula pada 21 Ogos, sehingga notis rayuan kami didengarr," katanya.

Haniff berkata pasukannya akan cuba menemui setiausaha Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, atau pendaftar untuk meyakinkan mereka atas sebab-sebab berdasarkan prosedur.

"Kami berharap untuk mendapatkan tarikh pendengaran sama ada esok atau pada hari Isnin," katanya.

RCI forex dijadualkan memulakan siasatannya juga pada Isnin, 21 Ogos.

Pagi tadi, permohonan Dr Mahathir untuk menyingkirkan dua anggota RCI itu ditolak oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Hakim Azizah Nawawi membenarkan bantahan awal yang dibangkitkan oleh kerajaan bahawa keputusan RCI melantik Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan Saw Choo Boon sebagai anggota bukan keputusan yang boleh dicabar di mahkamah.

Oleh itu, hakim berkata, usaha Mahathir untuk mendapatkan perintah mandamus untuk mengetepikan mereka adalah tidak wajar.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS