Kenaikan harga minyak sehingga melebihi AS$60 dollar setong telah menimbulkan kegusaran dan sekaligus memungkinkan Malaysia menghidupkan semula program nuklear untuk menjana tenaga yang pernah dihentikannya pada tahun 1970-an.

Kemungkinan itu pernah dibayangkan oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Innovasi Datuk Kong Cho Ha dalam satu sidang akhbar baru-baru ini.

Sebenarnya cadangan mengenai penggunaan nuklear untuk tenaga di Malaysia dicetuskan pada tahun 1970-an ketika negara yang ketika itu berada dalam blok dunia ketiga berhadapan dengan krisis harga minyak yang tinggi.

Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Teknologi Nuklear (MINT) Dr Daud Mohamad berkata, apabila harga minyak ketika itu melambung dari AS5 dollar kepada AS15 dollar, kerajaan mula memikirkan penggunaan nuklear untuk menjana tenaga.

Bagaimanapun katanya, krisis harga minyak dan masalah bekalan bahan api itu tiba-tiba dapat diatasi apabila beberapa telaga minyak baru dijumpai di perairan Malaysia di tengah-tengah kekalutan krisis.

"Dengan penemuan baru itu, program nuklear untuk penjanaan tenaga telah dihentikan walaupun MINT telah ditubuhkan pada tahun 1972 untuk meneruskan penyelidikan nuklear bagi kegunaan dalam bidang-bidang lain seperti perubatan," katanya kepada Bernama di pejabat MINT di Kuala Lumpur.

Dr Daud berkata, rakyat Malaysia mungkin tidak biasa dengan cerita-cerita nuklear yang pernah wujud di arena tempatan, sebaliknya lebih arif tentang isu atau insiden nuklear antarabangsa seperti pengguguran bom atom ke atas Hiroshima dan Nagasaki.

Krisis nuklear

Menurut beliau, hakikatnya Malaysia juga pernah merasai tempias daripada krisis nuklear di luar negara seperti letupan loji nuklear Chernobyl di Ukraine pada 1986.

Katanya tempias daripada insiden itu telah dirahsiakan daripada pengetahuan penduduk tempatan walaupun petugas keselamatan dan MINT telah dikejarkan ke pelabuhan-pelabuhan di seluruh tanahair untuk memantau kesan radioaktif ke atas peralatan dan barang dagangan, khususnya dari Eropah.

"Kita juga terpaksa memanggil balik dan menjalankan pemeriksaan kesan radioaktif ke atas ramai petugas kedutaan Malaysia di Soviet Union dan Eropah pada masa itu," katanya.

Bagaimanapun katanya, sehingga hari ini tiada seorangpun rakyat Malaysia yang menjadi mangsa akibat tragedi itu walaupun radioaktif yang bocor daripada letupan di Chernobyl itu mempunyai kesan jangka panjang.

Beliau percaya Malaysia mempunyai kepakaran untuk menangani sebarang krisis yang berkaitan dengan nuklear dan MINT sendiri memberi nasihat kepakaran kepada kerajaan dan swasta berhubung dengan isu-isu nuklear.

Sebenarnya sejak tahun 1970-an lagi Malaysia memang telah dikenalpasti bersama Indonesia, Australia, Denmark, Arab Saudi, New Zealand, Thailand, Norway dan Kuwait sebagai negara yang mempunyai program nuklear untuk tujuan aman.

Menurut Dr Daud, hanya nuklear yang boleh menjadi tenaga alternatif kepada minyak.

Simpanan uranium

Selain MINT, katanya, Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga merupakan sebuah agensi kerajaan yang bertanggungjawab dalam kemajuan nuklear di Malaysia, malah beberapa orang tokoh di TNB sendiri merupakan saintis nuklear yang diiktiraf.

Menurutnya, walaupun Malaysia kini mempunyai kira-kira 300 saintis dan jurutera nuklear, ia memiliki hanya sebuah reaktor nuklear berusia 25 tahun yang terletak di MINT sendiri.

Katanya Malaysia memerlukan masa selama 15 tahun untuk membangunkan sebuah reaktor nuklear.

"Kita ada teknologi penguraian (enrichment) uranium. Kita sendiri ada pengalaman dalam penguraian emas, tembaga dan pelbagai hasil bumi melalui perlombongan," katanya.

Beliau bagaimanapun menafikan Malaysia mempunyai simpanan uranium yang banyak, bahkan simpanan uranium yang terdapat di Bukit Merah (Perak), Gua Musang (Kelantan) dan Merapoh (Pahang) pun tidak sesuai untuk dilombong kerana peratus kandungannya yang amat rendah.

Dr Daud berkata, jika Malaysia ingin membangunkan semula program nuklearnya, ia terpaksa mengimport uranium sama ada dari Amerika Syarikat, Kanada, Afrika Selatan atau Australia.

Secara perbandingan, katanya, program nuklear Indonesia jauh lebih maju dari Malaysia kerana "mereka telah memulakan program itu sejak tahun 1950-an lagi."