Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
PAS desak Dr M mohon maaf jika tuduhan Anwar meliwat palsu
Diterbitkan:  Aug 17, 2017 4:58 PM
Dikemaskini: 10:28 AM

PAS menyarankan kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed supaya memohon maaf kepada timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung tuduhan liwat pada 1998 jika dakwaan itu adalah tidak benar.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, sekiranya tuduhan itu palsu, Dr Mahathir perlu memohon maaf kerana mengaibkan Anwar.

"Kalau betul tuduhan itu tuduhan palsu, pada pandangan saya Dr Mahathir perlu minta maaf secara terbuka.

“Benda ni (tuduh liwat) mengaibkan Anwar dan keluarganya, bukan benda kecil, dah jadi isu negara, dunia,” katanya di Kota Bharu, seperti yang dilaporkan oleh organ rasmi PAS, Harakah Daily.

Akhbar itu turut memuatkan gambar Anwar yang bermata lebam pada malam timbalan perdana menteri itu ditahan pada tahun 1998.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini juga mencabar Dr Mahathir menjelaskan kepada rakyat mengenai kenyataannya terhadap Anwar pada September 1998.

Mahathir pada 22 Sept 1998, mendakwa bahawa Anwar terbabit dengan aktiviti di luar tabii dan tidak layak menjadi pemimpin negara.

Walau bagaimanapun, jika tuduhan Mahathir itu benar, Mohd Amar mempersoalkan bagaimana beliau boleh bekerjasama dengan Anwar sekarang.

Walaupun terdapat perselisihan antara Mahathir dan Anwar sejak apa yang berlaku pada 1998 itu, namun kedua-dua mereka nampaknya seolah-olah telah berdamai dan sedang bekerjasama dalam kerangka Pakatan Harapan.

Mengikut organisasi HARAPAN, Anwar adalah ketua umum manakala Mahathir pula dilantik sebagai pengerusi.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun atas sabitan liwat II.

Beliau sebelum ini berulang kali menafikan dakwaan itu dan sebaliknya mendakwa tuduhan itu adalah rekayasa Najib dan pentadbirannya manakala kerajaan menangkis tuduhan bahawa kes itu adalah berdasarkan bukti palsu.

Lihat Komen
ADS