Jangan robohkan rumah kami, rayu Penduduk Kg Razak
Kira-kira 250 keluarga membabitkan 1,000 setinggan Kampung Razak di Shah Alam merayu kerajaan negeri menangguh operasi merobohkan rumah mereka kerana penduduk tidak ada tempat untuk berpindah.
Kira-kira 250 keluarga membabitkan 1,000 setinggan Kampung Razak di Shah Alam merayu kerajaan negeri menangguh operasi merobohkan rumah mereka kerana penduduk tidak ada tempat untuk berpindah.
Wakil penduduk, Magendran Nagappan berkata, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memberi notis bahawa rumah di perkampungan setinggan terbabit akan dirobohkan dalam operasi besar-besaran pada 27 Ogos ini.
Katanya, notis itu menyebut, mereka yang membuat bantahan semasa operasi merobohkan rumah setinggan terbabit akan ditangkap.
Bagaimanapun, katanya yang menjadi masalah ialah penduduk tidak mempunyai rumah untuk berpindah.
"MBSA mengarahkan kami berpindah ke kawasan perumahan di Seksyen 32, Shah Alam tetapi pinjaman bank belum diluluskan. Ini menyebabkan pemaju tidak membenarkan penduduk berpindah ke rumah tersebut," katanya.
Tidak peduli
Magendran berkata, perbincangan pihaknya dengan Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Ramli Mahmud tidak berhasil kerana beliau menegaskan bahawa MBSA akan tetap merobohkan rumah setinggan pada 27 Ogos ini.
"Beliau langsung tidak mempedulikan masalah penduduk yang tidak mempunyai tempat tinggal selepas rumah kami dirobohkan. Beliau hanya tahu memberi arahan berpindah tetapi tidak menjanjikan sebarang rumah," katanya.
Menurutnya, Ramli memberitahu bahawa penduduk boleh berpindah ke Seksyen 13, Shah Alam tetapi tidak mahu bertanggungjawab mengenai masalah pinjaman bank yang belum diluluskan.
Magendran berkata, Ramli berjanji bahawa penduduk akan mendapat potongan membeli rumah di Seksyen 13 sebanyak RM7,000 tetapi ia ditolak oleh pemaju.
Katanya, pemaju mendakwa siapa Ramli yang boleh memberi potongan harga rumah RM7,000 kepada pembeli rumah yang dibinanya di Sekysen 13 itu.
"Ramli berkata, urusan pinjaman perumahan diuruskan oleh Ambank tetapi pemaju memberitahu ia diuruskan oleh Hong Leong Bank," katanya.
Magendran juga mendakwa, rumah kos rendah di Bukit Subang yang pada mulanya dijanjikan akan diberikan kepada setinggan Kampung Razak kini sudah terlepas kepada orang lain.
Beliau berkata, penduduk setinggan Kampung Razak kini tidak tahu ke mana mereka mahu pergi kerana rumah yang dijanjikan oleh MBSA di Sekyen 13 itu belum mendapat kunci.
Katanya, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pula tidak mahu campur tangan kerana ia urusan kerajaan negeri Selangor.
Ramli bagaimanapun tidak dapat dihubungi untuk komen.

