2 maut kereta terjunam dari tingkat 4 tempat parkir
Dua orang termasuk seorang pelancong wanita warga China maut selepas kereta jenis Perodua Axia yang dinaiki mereka terjunam dari tingkat empat kawasan letak kenderaan di sebuah hotel di Genting Highlands, awal hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 4.15 pagi itu mangsa, L Poolani Samy, 50, dari Sepang, Selangor dan penumpangnya, Muy San Mao, 43, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah selepas terjatuh daripada ketinggian 13 meter.
Ketua Polis Daerah Bentong, Supt Mohamad Mansor Mohd Nor berkata,ketika kejadian mangsa dipercayai dalam perjalanan turun dari kawasan tempat letak kereta berkenaan.
“Apabila sampai di tempat kejadian yang merupakan kawasan membelok ke kanan, pemandu dipercayai telah hilang kawalan lalu terlanggar besi penghadang sebelum terjunam kira-kira 13 meter ke bawah dalam keadaan keempat-empat tayar kereta ke atas," katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Mangsa yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dari Klinik Genting Highlands.
"Siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu menyebabkan kenderaan itu terbabas serta terjunam.
Sementara itu, Komander Operasi Kanan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri, Mohd Arshad Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 4.32 pagi dan tiba di lokasi kira-kira 12 minit kemudian.
"Apabila sampai mayat mangsa telah dikeluarkan orang awam dan dibawa ke Hospital Bentong untuk bedah siasat," katanya.
Maut digilis keretapi
Sementara itu, di Gua Musang, seorang wanita warga emas ditemui maut dipercayai digilis kereta api berhampiran Stesen Keretapi Bertam Lama hari ini.
Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Rajab Ahad Ismail berkata dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi, mangsa yang berumur lingkungan 80-an dan belum dikenal pasti identitinya, dipercayai berjalan di tepi landasan apabila digilis kereta api yang dalam perjalanan dari Tumpat menghala ke Gua Musang.
"Wanita itu ditemui dalam keadaan terbaring di tepi landasan tempat kejadian dalam keadaan cedera parah di kepala dan kaki.
"Dalam siasatan awal kita, mungkin wanita terbabit ada masalah kesihatan dan kurang pendengaran yang menyebabkan dia tidak mendengar hon yang dibunyikan pemandu lokomotif," katanya ketika dihubungi hari ini.
Rajab Ahad meminta sesiapa yang kehilangan anggota keluarga supaya datang ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk membuat pengesahan dan menuntut mayat wanita itu.
"Kita juga sudah membuat semakan dengan penduduk kampung berdekatan tetapi tiada yang mengenalinya kerana dia mungkin datang dari kampung lain," katanya
Mayat mangsa kini berada di HGM untuk bedah siasat.
- Bernama

