Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Segera bayar saman AES, elak tindakan mahkaman'
Diterbitkan:  Aug 18, 2017 3:02 PM
Dikemaskini: 7:07 AM

Pesalah trafik yang dikenakan saman menerusi Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) sejak 15 April lepas digesa menjelaskan saman tersebut bagi mengelakkan tindakan mahkamah.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Seri Nadzri Siron berkata ini susulan persetujuan kerajaan agar pesalah trafik yang ingkar menjelaskan saman AES terbabit dihadapkan ke mahkamah.

"Mereka yang melakukan kesalahan ini akan dikenakan kompaun RM150, dan jika gagal untuk membayar dalam tempoh tertentu tindakan mahkamah akan diambil dan berdepan hukuman denda tidak melebihi RM2,000… lebih baik bayarlah kompaun itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Perhimpunan Bulanan JPJ dan majlis menandatangani perjanjian persefahamann (MoU) antara JPJ dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia di Putrajaya hari ini.

Katanya buat masa ini saman yang dikeluarkan AES merangkumi dua jenis kesalahan iaitu melebihi had laju dan melanggar lampu isyarat merah.

Mengulas mengenai pemasangan AES yang mengambil gambar dari arah belakang kenderaan, beliau berkata kaedah itu hanya digunakan di sesetengah tempat mengikut kesesuaian lokasi.

"Bila kita mengambil gambar sebegitu, kita boleh melihat model dan nombor pendaftaran kenderaan dengan lebih jelas,” katanya menambah kini terdapat 21 kamera AES yang dipasang di kawasan-kawasan panas yang sering berlaku kemalangan di seluruh negara.

Mengenai rombakan perjawatan dalam jabatan itu, Nadzri berkata perkara tersebut adalah proses biasa dalam mana-mana jabatan termasuk JPJ.

“Pada saya tidak ada masalah untuk meletakkan pegawai berkelayakan mengisi jawatan-jawatan tersebut kerana pegawai JPJ kebanyakannya mempunyai kemahiran pelbagai peringkat dan Insya-Allah Jabatan Perkhidmatan Awam akan menyelesaikan kekosongan tempat di JPJ secepat mungkin,” katanya.

Berhubung MoU yang dimeterai hari ini, Nadzri berkata JPJ dan JPK akan mengadakan kerjasama dalam pembangunan modal insan bagi bidang pengangkutan jalan melibatkan proses membangunkan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) dan kurikulum latihan yang tertakluk di bawah kuasa JPJ.

"Menerusi MoU ini juga akan dilaksanakan Persijilan Kemahiran Malaysia melalui Akademi JPJ/Pusat Bertauliah, Latihan Dual Nasional, Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu kepada personel yang dikenal pasti oleh JPJ seperti penguji pemandu dan pengajar pemandu,”katanya.

Selain itu antara bidang utama lain dalam kerjasama itu adalah mendaftar personel yang mahir dan berkelayakan dalam Direktori Pakar Industri Negara berdasarkan kelayakan yang ditentukan oleh JPJ dan pertauliahan program latihan bagi NOSS yang melibatkan bidang kuasa JPJ,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS