Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Nasihat SPRM agar pilih calon bersih wajar, kata Annuar
Diterbitkan:  Aug 18, 2017 4:14 PM
Dikemaskini: 8:16 AM

Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa berkata nasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar parti politik memilih calon bersih untuk bertanding pada pilihan raya umum (PRU) akan datang wajar dipatuhi semua parti terutamanya pembangkang.

Ini kerana kata beliau, parti DAP dan PKR khususnya, pernah meletakkan pemimpin mereka yang didapati bersalah dan dipenjarakan sebagai calon pilihan raya.

Apa yang diamalkan pembangkang ini tidak diamalkan oleh Umno dan Barisan Nasional (BN), kata Annuar kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno bahagian Mersing hari ini. Hadir sama Ketua Umno bahagian Mersing, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.

Annuar yang juga anggota Parlimen Ketereh, berkata Umno dan BN amat memahami perlembagaan parti dan ciri-ciri calon yang layak untuk ditampilkan pada PRU.

"Dalam Umno, tinggi manapun (jawatan) seseorang pemimpin itu… tetapi kalau sudah didakwa dan dikenakan tindakan disiplin parti, maka, parti tidak akan mencalonkan mereka.

"Jadi, soal memilih calon bersih ini perlu ditujukan kepada pembangkang. Kita hendak tengok adakah mereka masih menjunjung pemimpin yang dihukum penjara," katanya.

Baru-baru ini Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad dilaporkan memberi ingatan kepada parti-parti politik supaya tidak mengabaikan amaran beliau dengan memilih mereka yang ada isu rasuah sebagai calon PRU ke-14.

"Jika berdegil juga, kesannya pasti pahit untuk ditelan. Saya belum lagi memungkiri janji saya. Jika tidak percaya, saya persilakan mana-mana parti politik untuk mengabaikan amaran saya ini," kata Dzulkifli dalam wawancara khas kepada sebuah akhbar tempatan baru-baru ini.

- Bernama

Lihat Komen
ADS