Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Murid tadika patah tulang pinggul dilanggar van sekolah
Diterbitkan:  Aug 19, 2017 7:42 AM
Dikemaskini: 11:44 PM

Seorang murid tadika berusia lima tahun cedera selepas dilanggar sebuah van sekolah di depan rumah pengasuhnya di Taman Pasir Putih di Johor Bahru pada hari Rabu.

Dalam kejadian jam 4.45 petang itu, murid perempuan berkenaan dilanggar ketika melintas di hadapan van selepas pemandu itu menurunkan penumpang, kata Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supt Jokhiri Abd Aziz.

“Akibatnya murid itu patah tulang pinggulnya. Pemandu berkenaan tidak cedera. Mangsa dibawa ke Hospital Sultan Ismail di Johor Bahru untuk rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Jokhiri berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, ibu mangsa yang mahu dikenali sebagai Anis berkata anaknya Hani Aufa adalah murid Tadika Agama Johor di Taman Pasir Putih.
-
"Saya menerima panggilan daripada pengasuh menyatakan Hani Aufa terbabit dalam kemalangan dan meminta saya segera ke rumahnya. Saya kemudian membawa Hani Aufa ke Hospital Sultan Ismail dan dalam perjalanan itu, dia turut rebah," katanya yang bekerja di sebuah syarikat swasta.

Anis berkata akibat kejadian berkenaan, Hani Aufa patah pinggul kanan dan mengalami kecederaan dalaman termasuk di bahagian paru-paru, hati dan usus.

Beliau berkata kebiasaannya Hani Aufa akan berjalan di belakang van untuk memasuki rumah pengasuh.

“Sebelum ini, kami tidak berdepan dengan sebarang masalah dengan pemandu van berusia 40-an itu kerana dia seorang yang peka dengan keselamatan anak dan bersikap penyayang. Dia juga meminta maaf dan mengunjungi anak kami beberapa kali di hospital," katanya.

Anis juga terkilan dengan kisah kononnya Hani Aufa patah pinggang seperti yang yang tular di laman sosial.

"Perkara berkenaan tidak benar. Kini, Hani Aufa dalam keadaan stabil dan kami berharap kesihatannya bertambah baik," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS