Percubaan pada saat akhir oleh presiden Gerakan Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik bagi mengelak perebutan jawatan nombor dua dalam pemilihan parti 27 Ogos ini gagal, dan penyandangnya Datuk Seri Kerk Choo Ting mengenepikannya usaha atas alasan ia "sudah terlambat".

Dr Lim, Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, menjemput Kerk ke pejabatnya di Putrajaya semalam bagi mengusahakan kompromi untuk mengelak pertandingan tersebut.

"Ia merupakan pertemuan empat mata dan kami menyuarakan pandangan serta cuba untuk memahami satu sama lain berkaitan perkara ini (jawatan timbalan presiden)," kata Dr Lim semasa dihubungi Bernama malam semalam.

Beliau menggambarkan pertemuan 45 minit itu sebagai "mesra", sambil menambah tidak ada lagi pertemuan sulit antara beliau dan Kerk yang akan diadakan sebelum pemilihan parti.

Kerk pula memberitahu Bernama hari ini bahawa pertemuan itu sekadar sesi "menyuarakan dan bertukar pandangan secara umum" dan beliau serta Dr Lim sebenarnya tidak "bercakap banyak".

"Ini merupakan kali pertama kami mengadakan perbincangan mengenai isu penggantian pemimpin... ia sudah agak terlambat," katanya.

Kawan lama

Kerk, yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, akan berdepan dengan Ketua Menteri Pulau Pinang dan naib presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, yang dilihat sebagai bakal pengganti Dr Lim.

Dr Lim sebelum ini berkata beliau akan menggunakan pengaruhnya bagi menghalang pertandingan jawatan timbalan presiden dan akan bertemu Kerk serta Dr Koh untuk meminta mereka berkompromi.

Ditanya sama ada formula "penasihat" dibincangkan dalam pertemuan itu, Kerk berkata: "sebenarnya tidak ada pun penasihat parti."

Kerk dan Dr Koh menjalin hubungan baik serta erat sejak mereka menganggotai pergerakan pendidikan Cina pada 1970-an sebelum menyertai Gerakan.

Mengenai sama ada beliau akan tetap mempertahankan jawatan nombor dua parti, Kerk berkata beliau masih menimbangkannya dan meminta semua pihak supaya "menunggu sehingga hari pencalonan" Sabtu ini.

Keengganan Kerk untuk mengumumkan rancangannya pada pemilihan parti itu mencetuskan spekulasi bahawa beliau mungkin membuat persediaan untuk mencabar Dr Lim bagi jawatan presiden.