Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu hari ini mencabar musuh politiknya menentang beliau pada pemilihan parti itu yang akan datang.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan media hari ini yang Naib Presiden MIC, Datuk G. Palanivel akan mencabar Datuk S. Subramaniam bagi timbalan presiden dalam pemilihan parti itu Mac tahun depan.

Hubungan antara Samy Vellu dan Subramaniam tegang dan timbalan presiden itu digugurkan secara mendadak daripada menjadi calon dalam pilihanraya umum lalu.

Menteri Kerjaraya berkata, MIC adalah sebuah parti demokratik dan sesiapa pun boleh bertanding sebarang jawatan termasuk presiden.

"Saya mahu beri peluang kepada mereka yang tidak sukakan saya supaya bertanding untuk menamatkan riwayat politik saya supaya tidak ada lagi masalah, mereka boleh ambil alih parti dan uruskannya mengikut cara yang mereka suka," katanya kepada pemberita di Johor Bahru selepas melancarkan pertandingan kemahiran.

Bakal pengganti presiden?

Palanivel yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, dilihat sebagai pengikut setia Samy Vellu dan diasuh dengan kemungkinan menjadi pengganti presiden parti itu.

Menurut laporan Bernama, Samy Vellu berkata beliau pastinya akan mempertahankan jawatan parti kecuali ahli parti memutuskan sebaliknya.

Beliau berkata anggota MIC mahu parti itu bergerak pantas, menerima pakai sikap progresif, prihatin terhadap komuniti India dan anak-anak mereka serta melindungi masa depan kaum berkenaan.

"Jika ada yang buat keputusan "tidak", kita tidak perlukan semua itu, lebih baik berundur," katanya.

Ditanya sama ada beliau menyokong mana-mana calon pada pemilihan parti itu, Samy Vellu mengakuinya kerana menurutnya beliau perlu memastikan pemimpin yang "duduk sebelahnya" merupakan orang yang sesuai.

"Saya pasti akan menyokong seorang calon kerana saya mahu barisan yang akan bekerja dengan saya kerana banyak yang perlu dilakukan untuk kaum India, kita ada banyak program, kita sudah jayakan banyak program dan masih banyak yang boleh dilakukan.

"Apa pun yang perlu kita lakukan, orang yang duduk di sebelah saya mesti berupaya memahami bahawa itulah rancangan saya, bagaimana hendak melaksanakannya dan bagaimana mempromosikan idea itu untuk kebaikan kaum India," katanya.