Kerajaan hari ini memberi jaminan bahawa pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) masih stabil dan belum mengalami kerugian.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chan Kong Choy berkata, KWSP senantiasa mengambil kira faktor fundamental dan prestasi syarikat yang dilaburnya.

"Segala pelaburan itu harus diteliti oleh panel yang dilantik oleh Kementerian Kewangan terlebih dahulu," katanya, menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Zain Omar (BN- Balik Pulau) di sidang Dewan Rakyat, pagi tadi.

Mohd Zain dalam soalannya meminta penjelasan bagaimana kerajaan memantau syarikat yang menerima pelaburan KWSP tidak menimbulkan spekulasi dan jumlah keuntungan pelaburannya.

Sebelum itu, Goh Kheng Huat (DAP-Nibong Tebal) dalam soalannya meminta kerajaan menjelaskan secara terperinci dana yang terkumpul dalam KWSP dan butiran lengkap senarai syarikat pelaburan tabung pekerja itu.

Menurut Chan, pelaburan KWSP dibuat dalam syarikat yang stabil dan selamat.

"Kerajaan selalu menitik beratkan pelaburan dalam syarikat yang tidak begitu tinggi keuntungannya tetapi stabil," katanya.

Katanya, sehingga 30 Jun tahun ini, jumlah aset KWSP ialah RM185.74 bilion sementara jumlah caruman terkumpul adalah sebanyak RM179.35 bilion.

Menurut Chan, jumlah pelaburan terkumpul tabung itu sebanyak RM182.32 bilion - 37 peratus (RM67.55 bilion) dilaburkan dalam Sekuriti Kerajaan Malaysia, 16.5 peratus (RM30.04 bilion) dalam bentuk pinjaman dan bon korporat, 22.8 peratus (RM41.61 billion) dalam ekuiti, 23 peratus (RM41.87 bilion) dalam pasaran wang dan 0.7 peratus (RM 1.23 bilion) dalam pelaburan hartanah.

"KWSP juga melabur menerusi pinjaman dalam beberapa sektor, antaranya tenaga, telekomunikasi, pengangkutan dan infrastruktur. Manakala pelaburan ekuiti pula dalam sektor barangan pengguna, barangan industri, kewangan, dagangan dan perkhidmatan," jelasnya.

Tambah Chan lagi, sebanyak 309 syarikat terlibat dengan pelaburan tabung pekerja itu.

"KWSP memegang ekuiti lebih 10 peratus dalam syarikat-syarikat antaranya, C & C Bintang, Diperdana, Edaran Otomobil Nasional (EON), Kentucky Fried Chicken (KFC), Land & General, Sistem Televisyen Berhad (TV3) dan United Plantation," katanya kepada Dewan Rakyat.