Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Masyarakat disaran lebih yakin produk bioteknologi tempatan

Masyarakat disaran supaya lebih yakin dengan penghasilan produk berasaskan penyelidikan bioteknologi oleh syarikat tempatan kerana kualitinya hampir mencapai standard jenama antarabangsa.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah berkata setakat ini, lebih 150 produk pelbagai kategori termasuk produk kesihatan dan kecantikan berjaya dihasilkan syarikat-syarikat tempatan dengan sebahagiannya berjaya menembusi pasaran antarabangsa.

“Orang Malaysia kreatif dan banyak menghasilkan produk sendiri yang tidak kurang hebatnya. Namun, masyarakat pula yang kurang yakin dengan keluaran bioteknologi tempatan. Mereka lebih suka membeli jenama yang sudah ternama,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan cawangan ketiga Sutra Shoppe, outlet yang menjual produk berasaskan aromaterapi, wangian dan perapian kesihatan jenama SUTRA, milik syarikat Tropical Bioessence Sdn Bhd (TBESB).

Menurut Abu Bakar, bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM5.8 juta untuk mempergiatkan aktiviti penyelidikan bioteknologi yang menghasilkan perkembangan yang positif dalam sektor berkenaan.

“Kerajaan akan terus membantu mana-mana syarikat yang menghasilkan produk bioteknologi asalkan ia hasil ciptaan rakyat Malaysia. Kita mensasarkan negara mampu menghasilkan 360 produk inovasi penyelidikan pelbagai kategori dalam tempoh tiga tahun lagi, ” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan TBESB, Mohd Khairil Said berterima kasih kepada kerajaan kerana sentiasa menyokong perkembangan industri penyelidikan bioteknologi menerusi bantuan terhadap aktiviti promosi, kursus pemasaran dan sumber kewangan.

Beliau berkata sejak berkecimpung dalam sektor itu mulai 10 tahun lepas, TBESB yang kini mempunyai 410 agen di seluruh negara menyasarkan untuk mempunyai 12 cawangan dalam tempoh empat tahun akan datang.

“Sekarang kita ada tiga cawangan iaitu di Shah Alam, Seremban dan terbaharu di Subang 2. Ia menunjukkan masyarakat sudah mula memberi sambutan terhadap produk tempatan,” katanya.

-Bernama

Lihat Komen
ADS