Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Umno perlu sebar gelombang positif yakinkan rakyat

Anggota Umno perlu mewujudkan gelombang positif yang semangatnya dapat dirasai rakyat yang seterusnya bagi memastikan Umno dan BN terus diberi kepercayaan mentadbir negara.

Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein berkata gelombang positif ini tidak terhad kepada politik sahaja, tetapi turut merangkumi ekonomi dan perpaduan di kalangan bangsa berbilang kaum dan agama di negara ini.

"Gelombang sebenarnya satu istilah dan kaedah untuk menyedarkan orang ramai bahawa kadang-kala politik ini banyak berkisar pada persepsi.

"Kita perlu lihat gelombang ini secara membina dan positif, gelombang yang boleh memastikan bahawa nak menang pilihan raya ini bukan kerana politik dan kuasa semata-mata," katanya kepada media selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Rembau di Pusat Dakwah Islamiah, Paroi hari ini.

Turut hadir Ketua Umno Bahagian, Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri dan Naib Ketua Umno Bahagian, Datuk Dr Awaludin Said.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan dan Menteri Tugas-Tugas Khas berkata anggota Umno mesti mempamerkan gelombang positif yang dapat meyakinkan rakyat, yang sebelum ini tak berminat mendekati Umno.

"Melalui gelombang-gelombang ini, akan terciptalah tsunami untuk PRU akan datang, yang dapat menolak pihak-pihak yang cuba mengintai kita di negeri ini dan Johor.

"Kita boleh wujudkan tsunami yang kuat yang dapat menangkis serangan pihak yang sanggup melakukan apa saja untuk merampas dan mendapatkan kerusi," katanya.

Terdahulu, semasa berucap di hadapan perwakilan, Hishammuddin turut memuji perpaduan di kalangan Umno Bahagian Rembau, walaupun terdapat beberapa pemimpin bertaraf ‘heavyweight’ di bahagian berkenaan.

Beliau berkata, selain Mohamad yang merupakan Menteri Besar, turut berada di bahagian itu ialah Khairy Jamaluddin yang merupakan timbalan ketua bahagian dan Ketua Pemuda Umno Malaysia dan Awaludin selaku Speaker Dewan Undangan Negeri.

"Ini jelas menunjukkan mereka ikhlas berjuang dalam parti dan masyarakat dapat menilai siapa pemimpin Umno yang tulen," katanya, sambil menambah tahun ini Umno berada di atas landasan yang cukup baik, kukuh dan utuh.


-Bernama

Lihat Komen
ADS