Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
4 Umno bahagian Sabah terima peruntukan RM8 juta

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman hari ini mengumumkan peruntukan berjumlah RM8 juta yang diluluskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, untuk membiayai pelaksanaan projek kecil di kawasan Umno Bahagian Pensiangan, Ranau, Keningau dan Tenom.

Peruntukan yang akan disalurkan melalui ketua-ketua Umno empat bahagian berkenaan diumumkan oleh Musa ketika merasmikan persidangan serentak Perwakilan Umno Bahagian Ranau, Pensiangan, Tenom dan Keningau hari ini, dengan setiap bahagian akan memperoleh RM2 juta.

"Bagi pihak Bahagian Umno Zon 4 (Ranau, Tenom, Pensiangan dan Keningau), saya mengucapkan ribuan terima kasih atas kebaikan hati presiden parti kita memberi peruntukan RM8 juta pada hari ini. Begitulah pemimpin Umno dan BN.

"Perdana Menteri yang juga pengerusi BN sentiasa sedar bahawa negeri Sabah mempunyai kawasan yang kedua terbesar di negara kita ini dan sentiasa memberi peruntukan besar kepada kita hari demi hari," katanya.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga Setiausaha Perhubungan Umno Sabah Datuk Seri Yahya Hussin, masing-masing ketua Umno Bahagian Ranau, Pensiangan, Tenom dan Keningau iaitu Datuk Seri Masidi Manjun, Datuk Abdul Ghani Yassin, Datuk Rubin Balang dan Datuk Sairin Karno.

​​​​​​​Justeru, kata Musa, rakyat perlu terus memberi sokongan kepada Umno dan BN serta kepimpinannya kerana mereka sentiasa bekerja untuk menjaga kebajikan dan kepentingan rakyat tanpa mengira sama ada pada musim pilihan raya ataupun tidak.

Katanya anggota dan kepimpinan Umno dan BN tidak perlu gentar untuk berhadapan dengan pembangkang kerana Umno dan BN mempunyai bukti kukuh mengenai pelbagai bentuk pembangunan yang dilaksanakan untuk kesejahteraan hidup rakyat.

Menurut Musa, tidak seperti pembangkang yang sentiasa berbohong dan berjanji kosong, Umno dan BN sentiasa menepati janjinya dan akan terus membawa pembangunan ke seluruh negeri Sabah sesuai dengan kemahuan serta kehendak rakyat.

Beliau berkata kejayaan kerajaan dalam membawa pembangunan kepada rakyat juga disebabkan wujud kerjasama rapat antara pemimpin dan pegawai-pegawai kerajaan dan melalui kerjasama seperti itu, segala yang dirancang pemimpin dapat dilaksanakan dengan baik.

Musa yang juga Ketua Perhubungan Umno Sabah, berkata Umno berjaya mengekalkan kuasa disebabkan kepimpinan dan anggotanya yang sentiasa berpegang kepada cogan kata perjuangan Umno iaitu Bersatu, Bersetia, Berkhidmat.


-Bernama

Lihat Komen
ADS