Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
K'jaan kini pertimbang RCI untuk Memali pula
Diterbitkan:  Aug 20, 2017 6:03 PM
Dikemaskini: 10:22 AM

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan sedia mempertimbangkan penubuhan Suruhanjaya Diraja (RCI) bagi mengkaji tragedi Memali.

Menurut Menteri Dalam Negeri itu, penubuhan suruhanjaya berkenaan akan ditubuhkan sekiranya ada pihak yang membuat permintaan atau usul.

"Kerajaan bersedia untuk mempertimbangkan penubuhan RCI Memali, jika ada pihak yang membuat permintaan atau usul sedemikian demi kepentingan mangsa peristiwa Memali," kata Zahid di dalam Twitternya hari ini.

Selepas itu Zahid sekali lagi menulis di Twitternya memberitahu, kerajaan akan mempertimbangkan penubuhan RCI sekiranya terdapat permintaan daripada individu, pertubuhan atau parti politik. 

"Kerajaan sedia mempertimbangkan penubuhan RCI terhadap tragedi Memali sekiranya terdapat individu, pertubuhan atau parti politik yang meminta," kata Zahid. 

Kebelakangan ini, PAS membangkitkan isu Memali dengan antaranya menggesa agar RCI dibentuk bagi mengkaji peristiwa yang berlaku pada 19 November 1985 itu.

Gesaan PAS itu bertujuan bagi menyiasat semula tragedi Memali untuk memberi keadilan kepada semua pihak dan membersihkan nama-nama mereka yang tidak bersalah.

Peristiwa yang berlaku di Kampung Memali, Baling, Kedah itu berlaku ketika era pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad apabila berlakunya pertempuran antara pasukan polis bersama penduduk kampung berkenaan sehingga menyebabkan 18 kematian.

Penduduk kampung berkenaan yang ketika itu mempunyai pelbagai senjata membuat benteng ketika pihak polis cuba memberkas pemimpin mereka, Ibrahim Mahmood atau dikenali sebagai Ibrahim Libya.

Mahathir sebelum ini mendakwa, beliau tiada di dalam negara semasa kejadian berkenaan dan memberitahu, individu yang bertanggungjawab berhubung isu itu ialah timbalannya, Tun Musa Hitam.

Isu Memali kembali hangat susulan kekecohan yang berlaku semasa program Nothing to Hide 2.0 apabila terdapat hadirin bertanya tentang peristiwa berkenaan kepada Mahathir pada program itu.

Jika kerajaan memutuskan untuk menubuhkan RCI, ia akan menjadi suruhanjaya kedua yang ditubuhkan pada tahun ini untuk menyiasat skandal atau kontroversi yang berlaku semasa pentadbiran Mahathir.

Kerajaan sebelum ini telah menubuhkan RCI untuk menyiasat kerugian yang dialami Bank Negara Malaysia dalam pasaran forex pada akhir 1980-an dan awal 1990-an ketika Mahathir menjadi perdana menteri.

Mahathir kini sedang 'berperang' dengan pentadbiran kerajaan sekarang dan mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak seorang yang mengamalkan rasuah dan berjanji untuk menjatuhkannya.

Najib bagaimanapun menafikan dakwaan berkenaan dan mendakwa Mahathir bersikap demikian kerana sebelum ini bercita-cita untuk menjadikan anaknya, Mukhriz Mahathir sebagai perdana menteri.

Namun, dakwaan yang dibuat Najib itu dinafikan Mukhriz.

Lihat Komen
ADS