Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Akhirnya 146 penduduk Kempas miliki geran tanah

Hasrat 146 penduduk dari empat kampung di sini memiliki geran tanah sendiri akhirnya tercapai apabila kerajaan negeri meluluskan permohonan mereka.

Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengumumkan berita gembira itu sewaktu berucap pada Program Meninjau Isu Kampung Permatang, Kempas di Dewan Permatang Kempas di Johor, hari ini.

Kampung yang terlibat ialah Kampung Permatang 5, Kampung Lorong Aman, Kampung Lembah Murni dan Kampung Jalan Masjid dalam Parlimen Kempas.

“Sebelum ini, permohonan mereka mendapatkan hak milik (geran) telah ditolak atas pelbagai faktor. Namun, dalam mesyuarat exco minggu lalu, kita telah pun meluluskannya secara prinsip.

“Bagaimanapun sebelum pemberian hak milik, terdapat beberapa perkara akan dikaji termasuk menjadikan kawasan tanah mereka itu sebagai tanah rizab Melayu bagi mengelakkannya daripada dijual dan pada masa sama, kadar premiumnya tidak semahal tanah zon antarabangsa,” katanya.

Mohamed Khaled berkata tanah rizab Melayu di Johor ketika ini adalah 29 peratus daripada keseluruhan keluasan negeri dan menjadikannya negeri paling tinggi memiliki tanah rizab Melayu.

“Saya harap pemberian geran dapat disempurnakan segera dan apabila sudah memilikinya nanti, jangan pula kita putus hubungan. Teruskanlah menyokong kerajaan demi kelangsungan kesejahteraan tuan-tuan dan puan-puan sekalian,” katanya.

Beliau menegaskan adalah menjadi dasar kerajaan negeri sekarang untuk memastikan setiap rakyatnya menjalani kehidupan lebih bermakna, bermaruah dan selari dengan pembangunan yang dilakukan.

-Bernama

Lihat Komen
ADS