Seramai 12 anggota bomba Malaysia yang membantu memadamkan kebakaran di daerah Rokan Hilir, Riau disahkan sakit dengan seorang daripadanya telah dimasukkan ke hospital di Kota Dumai.

Ketua Badan Pengendalian Alam Sekitar Riau Khairul Zainal memberitahu wartawan di Pekanbaru bahawa anggota bomba yang dimasukkan ke rumah sakit di Dumai itu dalam keadaan yang agak serius manakala tiga yang lain dirawat di klinik Simpang Bangko dan lapan lagi dirawat di klinik di kem Malaysia.

"Mereka sakit sejak dua hari lalu tetapi saya tidak tahu apa sakit mereka sebenarnya mungkin hanya selesema biasa atau demam," katanya.

Anggota bomba dan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (Smart) berkekuatan 128 orang tiba di Pekanbaru pada 15 Ogos, lengkap dengan peralatan untuk memadamkan kebakaran dalam usaha membantu mengatasi masalah asap tebal yang mengakibatkan jerebu di Malaysia.

Menurut Bernama, mereka menyertai kira-kira 300 orang pemadam kebakaran tempatan yang terdiri daripada anggota bomba setempat dan sukarelawan swasta.

Tanah gambut tebal

Sementara itu, Ketua Pusat Pengendalian Kebakaran Hutan dan Tanah Riau Wan Abu Bakar berkata, paling kurang seluas 20,000 hektar tanah gambut di tujuh daripada 11 daerah di Wilayah Riau kini sedang terbakar.

Abu Bakar yang juga Naib Gabenor Riau berkata, usaha memadamkan kebakaran tanah gambut itu sukar kerana angin bertiup kencang dan kedalaman tanah gambut yang terbakar itu juga sangat tebal.

"Api di atasnya telah padam namun di dalam tanah gambut itu api masih membara," katanya.

Beliau berkata, banyak tompok-tompok panas baru juga ditemui di pelbagai daerah seperti di Kota Dumai yang belum ada pasukan bomba yang ke sana.

Sementara itu, Pasukan Pertahanan Awam Singapura seramai 54 orang tiba di Lapangan Terbang Sultan Sharif Kasim II petang ini untuk turut membantu memadamkan kebakaran.

Khairul Zainal berkata, mereka akan menyertai pasukan yang sedia ada di Rokan Hilir kerana pada waktu ini jumlah tompok panas masih banyak di sana.