Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
DAP cadang adakan pemilihan semula 10 Sept
Diterbitkan:  Aug 21, 2017 1:12 PM
Dikemaskini: 5:24 AM

DAP mencadangkan supaya pemilihan semula kepimpinan parti itu diadakan pada 10 September ini sementara Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) menyelesaikan beberapa butiran berkaitan.

Saranan itu dinyatakan Naib Presiden DAP Teresa Kok selepas beliau mengadakan pertemuan kira-kira satu setengah jam dengan Ketua Pengarah ROS Datuk Mohammad Razin Abdullah pagi tadi.

"Kami memberitahu ROS bahawa DAP mahu mengadakan pemilihan semula secepat mungkin iaitu 10 September. Tetapi pegawai ROS berkata mereka perlu mengesahkan beberapa perkara terlebih dulu," katanya kepada Malaysiakini di Putrajaya.

Antara butiran yang perlu disahkan ROS termasuk senarai perwakilan DAP yang akan menghadiri pemilihan itu, dan rekod dua cawangan parti terbabit.

Kata Kok, DAP akan menyediakan rekod dan senarai yang diperlukan termasuk nama-nama anggota yang telah meninggalkan parti, serta sudah meninggal dunia.

"Ketua pengarah juga berkata beliau perlu berbincang dengan pegawainya," kata Kok.

Anggota parlimen Seputeh itu juga menyatakan DAP bercadang mengadakan pemilihan semula itu di Shah Alam.

"Ia belum dapat dipastikan buat masa ini kerana kami perlu mendapat kebenaran daripada ROS," katanya.

Pertemuan nampak positif

Sementara itu Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke menggambarkan pertemuan mereka tadi sebagai positif.

"ROS tidak ada bantahan untuk kami mengadakan pemilihan semula pada 10 September, tetapi ia tertakluk kepada pengesahan beberapa perkara," katanya.

"Ini adalah pertemuan pertama kami dengan ketua pengarah sekarang. Ia berjalan dengan baik dan sekurang-kurangnya ia adalah positif," kata Loke.

DAP mengadakan pemilihan untuk anggota jawatankuasa pusat (CEC) parti itu pada 15 Disember 2012 untuk berkhidmat bagi tempoh 2013 hingga 2016.

Bagaimanapun wujud kesilapan teknikal semasa pemilihan, mendorong parti terbabit mengadakan pemilihan semula pada 29 Sept 2013.

Pada 7 Julai lalu - atau hampir empat tahun kemudian - ROS mengumumkan pemilihan semula itu tidak sah dan DAP perlu melakukannya sekali lagi.

ROS mendakwa ada perwakilan sah tidak dibenarkan mengundi, manakala perwakilan yang tidak berhak pula terbabit dalam proses pemilihan berkenaan.

DAP bagaimanapun menafikan dakwaan itu dan berpendapat ROS membuat keputusan berkenaan berdasarkan "berita palsu" namun parti terbabit akur untuk mengadakan pemilihan semula seperti diarahkan.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS