Peguam bukan punca kelewatan perbicaraan di mahkamah
Peguam bukan punca utama berlakunya kelewatan perbicaraan di mahkamah, kata Pengerusi Majlis Peguam, Yeo Yang Poh hari ini.
Peguam bukan punca utama berlakunya kelewatan perbicaraan di mahkamah, kata Pengerusi Majlis Peguam, Yeo Yang Poh hari ini.
Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, terdapat banyak faktor lain yang menyumbang kepada kelewatan perbicaraan di mahkamah sivil dan mahkamah jenayah.
Menurut Yeo, perbincangan di forum anjuran Suhakam baru-baru ini menunjukkan dengan jelas bahawa ia berpunca daripada kekurangan hakim, pegawai kehakiman dan kakitangan sokongan seperti jurubahasa serta prosidur di mana hakim perlu menulis nota sepanjang perbicaraan.
Beliau menegaskan demikian sebagai menjawab kenyataan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail bahawa para peguam pada umumnya menjadi penyebab kepada kelewatan perbicaraan kes sivil.
Menurut Gani lagi, keadaan itu telah menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap bidang kehakiman kerana kes-kes mengambil masa bertahun-tahun untuk diselesaikan.
Laporan Suhakam
Bagi memperbaiki keadaan itu, Yeo merujuk kepada sebuah laporan oleh Suhakam yang mengandungi banyak perakuan yang berguna.
Katanya, laporan tersebut perlu diberi pertimbangan serius oleh pihak kerajaan kerana ia mampu membantu memperbaiki lagi sistem sekarang.
"Majlis Peguam sudah sekian lama menggesa pihak berkuasa supaya menyemak semula sistem kehakiman kita, termasuk meningkatkan kapasiti infrastruktur perundangannya untuk menangani pertambahan kes yang perlu dikendalikan. Kami sekali lagi menggesa kerajaan berbuat demikian," tambahnya.

