Menteri dan Menteri Besar tidak boleh meluluskan sesuatu projek sesuka hati kerana ia menjurus kepada ketidaktelusan dan penyelewengan, kata Ahli Majlis Tertinggi Umno (MT), Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik.

Beliau berkata, mereka perlu mengumumkan kepada orang ramai mengenai sebarang projek yang mahu dibuat supaya rakyat dapat menilai kepentingan projek tersebut.

Katanya, jika projek tidak diumumkan ini satu tindakan yang tidak bijak dan boleh mengundang pelbagai masalah kepada kerajaan apabila projek berkenaan gagal.

"Menyembunyi dan meluluskan projek sesuka hati juga tidak sesuai dengan dasar ketelusan kerajaan yang mahu diamalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi," katanya dalam satu wawancara baru-baru ini.

Abdul Rahim yang juga bekas Ketua Menteri Melaka berkata, syarikat yang berkaitan dengan kerajaan (GLC) yang mengutamakan syarikat luar boleh menjejaskan kedudukan ekonomi negara.

'Membunuh' ushawan tempatan

Menurutnya, tindakan tersebut juga boleh `membunuh' usahawan tempatan khususnya Bumiputera kerana mereka terpaksa bersaing dengan syarikat luar.

"Telekom, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) serta GLC yang lain perlu memberi peluang secukupnya kepada usahawan tempatan khususnya Bumiputera untuk mendapatkan projek dari mereka," katanya.

Beliau juga mahu GLC tersebut tidak bersaing dengan usahawan Bumiputera bagi merebut projek ekonomi yang dibuat oleh kerajaan.

Sementara itu, Abdul Rahim yang juga bekas Ketua Pemuda Umno berkata, ketirisan dan kebocoran menyebabkan matamat Dasar Ekonomi Baru (DEB) gagal.

Sepatutnya, kata beliau, matlamat 30 peratus penguasaan ekuiti orang Melayu sudahpun tercapai jika ketirisan tersebut tidak berlaku.

Beliau berkata, pada masa ini, penguasaan ekonomi orang Melayu adalah di dalam lingkungan di antara 20 dan 30 peratus sahaja.