Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ikea tubuh hab pengedaran serantau RM908 juta
Diterbitkan:  Aug 22, 2017 3:14 PM
Dikemaskini: 8:52 AM

IKEA, peruncit perabot terbesar di dunia yang beribu pejabat di Belanda, telah membuat keputusan strategik untuk menubuhkan Pusat Pengedaran dan Rantaian Pembekalan Serantau untuk ASEAN di Malaysia.

Pusat itu akan mengguna pakai struktur dan teknologi pusat pengedaran serantau terbesar IKEA di Jerman dan akan menjadi antara 10 pusat pengedaran serantau terbesar Kumpulan IKEA di peringkat global, kata Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dalam satu kenyataan hari ini.

“Pusat baharu itu akan menguruskan inventori sebanyak 9,500 unit penyimpanan stok (SKU) bernilai RM6.6 billion setahun.

“Gudang pengkhususan IKEA baharu seluas 100,000 meter persegi itu akan menggunakan sistem teknologi maklumat dan komunikasi bersepadunya dan automasi untuk mengurangkan pergantungan kepada buruh dan meningkatkan dengan ketara ketepatan proses pengurusan inventorinya,” kata MIDA.

Menurut MIDA, Malaysia sentiasa menjadi pasaran penting bagi IKEA, kerana gedung runcit di negara ini merupakan antara yang paling banyak dikunjungi di seluruh dunia.

Pusat itu akan memberi khidmat kepada 12 gedung IKEA di ASEAN yang akan meningkat kepada 20 gedung pada 2026.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata projek itu merupakan satu pencapaian penting kepada IKEA dan Malaysia.

“Keputusan IKEA untuk memilih Malaysia sebagai pangkalan untuk menyokong peruncit di negara ini, Singapura, Thailand, Indonesia, Vietnam, Filipina dan India, mencerminkan kesesuaian strategik negara dalam menyokong strategi pertumbuhan keseluruhan syarikat itu di rantau ASEAN.

“Penubuhan ini juga meningkatkan lagi momentum ke arah menjadikan Malaysia hab pengedaran serantau dan gerbang logistik pilihan ke Asia seperti yang digariskan dalam Pelan Induk Logistik dan Fasilitasi Perdagangan dan Pelan Hala Tuju Strategik e-Dagang Kebangsaan,” katanya.

-Bernama

Lihat Komen
ADS