Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tak perlu spekulasi pelanggaran kapal perang AS - Reezal Merican
Diterbitkan:  Aug 22, 2017 9:17 PM
Dikemaskini: 1:27 PM

Semua pihak diminta supaya menunggu hasil siasatan dan tidak terburu-buru membuat kesimpulan berhubung insiden pelanggaran membabitkan kapal perang Amerika Syarikat dengan sebuah kapal dagang di perairan Teluk Ramunia.

Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata oleh itu tidak perlu bagi mana-mana pihak membuat spekulasi mengenai kemalangan itu yang mengakibatkan 10 kelasi dilaporkan hilang dan lima lagi cedera,

“Kami tidak mengeluarkan apa jua kenyataan yang bersifat spekulasi. Kita perlu menunggu penyiasatan yang konklusif mengenai apa yang sebenarnya berlaku sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Hari Apresiasi Kebudayaan 2017 anjuran Institut Diplomasi dan Hal Ehwal Luar di Kuala Lumpur hari ini.

Reezal Merican mengulas mengenai pelanggaran di antara kapal pemusnah peluru berpandu USS John S McCain dan sebuah kapal tangki minyak kira-kira 4.5 batu nautika dari Teluk Ramunia pada 5.30 pagi semalam.

Sementara itu, Armada Ketujuh Amerika Syarikat (AS) dalam laman sesawangnya berkata, Tentera Laut dan penyelam Pasukan Marin memulakan usaha mencari 10 kelasi USS John S McCain, yang dilapor hilang sejak kapal pemusnah peluru berpandu itu berlanggar dengan kapal dagang Alnic MC pada awal Isnin.

Tentera Laut AS berkata, dengan dilengkapi peralatan rig bekalan udara dari permukaan, penyelam akan memasuki ruang terkedap yang terletak di bahagian kapal berkenaan yang mengalami kerosakan.

“Mereka juga akan membuat penilaian mengenai kerosakan pada bahagian kapal dan tempat yang dipenuhi air,” katanya.

Kerosakan teruk pada bahagian kapal berkenaan mengakibatkan berlaku banjir di ruang berhampiran, termasuk tempat tinggal anak kapal, jentera dan bilik komunikasi.

Menurut Armada Ketujuh, ketika penyelam berkenaan menjalankan tugas mereka, kapal dan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Tentera Laut Republik Singapura terus memberi bantuan dalam usaha mencari dan menyelamat bersama-sama dua helikopter MH-60 Seahawk Tentera Laut AS daripada kapal penggempur USS America (LHA 6).

“Usaha mencari itu ditumpukan di satu kawasan di timur Selat Melaka dan Selat Singapura, tempat perlanggaran itu berlaku ketika McCain dalam pelayaran ke Singapura untuk menjalani lawatan rutin ke pelabuhan,” kata Armada Ketujuh, armada hadapan terbesar Tentera Laut AS.

Kapal USS John S McCain dan USS America tiba di Pangkalan Laut Changi pada tengah hari Sabtu selepas usaha mengawal kerosakan terhadap kapal oleh anak kapal berkenaan berjaya menyekat McCain daripada terus mengalami banjir.

Ketika dua kapal berkenaan berada di Singapura, America menyediakan makanan, tempat tidur serta sokongan lain kepada kelasi McCain dan menyokong usaha mengawal kerosakan di atas kapal, yang memberi fokus kepada mengeringkan kapal berkenaan daripada air dan memulihkan sistem sokongannya, kata armada itu.

Tentera Laut AS berkata kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), KD Handalan dan dua kapal peronda pantai, Petir (12) dan Pang Alang (39), serta dua kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) membantu dalam usaha mencari itu, bersama-sama kapal peronda kelas Fearless Tentera Laut Republik Singapura, Noble Pearl (PCG 54) dan Noble Knight (PCG 56).

Beberapa unit penyelam membantu usaha mencari itu, termasuk penyelam tentera laut daripada Ship Repair Facility Yokosuka dan Commander Logistics Group Western Pacific dan penyelam pasukan marin daripada 15th Marine Expeditionary Unit yang ditempatkan di atas America, kata armada itu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS