Exco: Setinggan mengambil kesempatan
Projek perumahan flat kos rendah di Seksyen 32, Shah Alam yang dibina untuk setinggan Kampung Rasak , Shah Alam sudah siap sepenuhnya, kata Exco Kerajaan Selangor, Datuk Ahmad Mokhtar Dahalan.
Projek perumahan flat kos rendah di Seksyen 32, Shah Alam yang dibina untuk setinggan Kampung Rasak , Shah Alam sudah siap sepenuhnya, kata Exco Kerajaan Selangor, Datuk Ahmad Mokhtar Dahalan.
Beliau berkata, AmBank juga sudah meluluskan semua pinjaman seramai 100 pemohon setinggan terbabit baru-baru ini.
Katanya, mereka cuma perlu membayar deposit untuk bekalan elektrik dan air sebelum mendapat kunci rumah dari pemaju iaitu IJM Berhad.
"Yang menjadi masalah sekarang ialah setinggan yang tidah menghantar borang permohonan kepada pihak bank menyebabkan pinjaman mereka tidak dapat diluluskan," katanya ketika diminta mengulas mengenai sekumpulan setinggan Kampung Rasak yang menyerahkan memorandum bantahan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo pagi tadi.
Dalam memorandum itu penduduk meminta kerajaan negeri menangguhkan operasi merobohkan rumah setinggan Kampung Rasak yang dijadualkan pada 28 Ogos ini kerana penduduk tidak mempunyai rumah baru.
Ahmad Mokhtar berkata, kerajaan negeri menetapkan harga rumah untuk setinggan ialah RM35,000 seunit dan mereka tidak perlu membayar deposit.
Mengambil kesempatan
Bagaimanapun, katanya keistimewaan ini telah mendorong setinggan yang tidak ada dalam senarai bancian yang dibuat oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengambil kesempatan untuk mendapatkan rumah terbabit.
Menurutnya, pada mulanya 22 keluarga setinggan Kampung Rasak tidak ada dalam senarai MBSA kerana berpindah tetapi mereka akan ditawarkan rumah jika ada kekosongan.
"Saya baru mendapat memorandum dari penduduk pagi tadi dan mendapati jumlahnya sudah bertambah kepada 48. Dari mana 26 keluarga itu?" katanya.
Ahmad Mokhtar berkata, MBSA akan tetap merobohkan rumah setinggan Kampung Rasak pada 28 Ogos ini kerana ia arahan kerajaan negeri untuk membasmi kemiskinan di Selangor.
Sementara itu, wakil penduduk Kampung Rasak, Magendran Nagappan mendakwa, 60 keluarga tercicir dari senarai bancian yang dibuat oleh MBSA menyebabkan mereka tidak mendapat flat kos rendah di Seksyen 32 itu.
Katanya, pihaknya mengesyaki orang luar mendapat rumah tersebut dan mahu bancian semula dibuat bagi membolehkan setinggan terbabit mendapat flat kos rendah tersebut.
Beliau berkata, selain itu perjanjian jual beli di antara penduduk dan pemaju belum dibuat menyebabkan pemaju enggan menyerahkan kunci kepada penduduk.

