Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS amat setuju Hadi dipanggil ke RCI Memali
Diterbitkan:  Aug 23, 2017 12:49 PM
Dikemaskini: 5:17 AM

PAS amat bersetuju sekiranya presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dipanggil sebagai saksi berhubung kejadian Memali yang berlaku pada tahun 1985 jika cadangan penubuhan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) menjadi kenaytaan.

"PAS amat bersetuju sekiranya Datuk Seri Abdul Hadi turut dipanggil bagi membolehkan beliau memberikan keterangan sebeanar tentang peristiwa tersebut dan perkara-perkara yang berkaitan dengan RCI (yang dicadangkan) itu,” kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bahawa parti itu berharap RCI mengenai kejadian Memali dapat ditubuhkan secepat mungkin.

Takiyuddin berkata PAS juga bersetuju dengan kenyataan yang dibuat oleh pemimpin parlimen DAP Lim Kit Siang pada 2 April 2014 yang turut mendesak RCI mengenai kejadian Memali dibentuk, dan menyenaraikan beberapa saksi yang berpotensi.

Mereka adalah adalah: Tun Dr Mahathir Mohamad (bekas perdana menteri), Tun Musa Hitam (bekas timbalan perdana menteri), Tun Hanif Omar (bekas ketua polis negara), Tan Sri Mohd Amin Osman (bekas pemangku ketua polis negara), Tan Sri Rais Yatim ( bekas menteri penerangan), Tan Sri Radzi Sheikh Ahmad (timbalan menteri dalam negeri, ketika itu), Tan Sri Sanusi Junid (setiausaha agung Umno ketika itu), Tunku Muszaffar Shah (ketua polis daerah Baling ketika kejadian) dan Datuk Muhamad Yusof Husin (bekas senator).

Sementara itu, Takiyuddin berkata PAS berpendapat bahawa bekas ketua polis negara, Tan Sri Rahim Noor cuba "campur tangan" dengan cadangan penubuhan RCI itu.

"PAS merasakan bahawa kenyataan Rahim Noor tentang siapa yang perlu dipanggil untuk memberi keterangan kepada RCI nanti adalah sesuatu yang pra-matang.

"Sepatutnya sebagai bekas pegawai tertinggi polis beliau tidak perlu mempamerkan sikap cuba campur tangan dalam urusan RCI yang merupakan satu suruhanjaya bebas yang berfungsi mencari keadilan atas dasar tanpa rasa takut dan pilih kasih,” kata Takiyuddin.

Beliau merujuk kepada kenyataan Rahim bahawa Abdul Hadi akan terpalit berhubung ucapannya pada tahun 1981 - lebih dikenali sebagai "Amanat Hadi” - yang mempengaruhi ahli-ahli PAS untuk bertempur dengan anggota polis semasa kejadian Memali pada tahun 1985.

Semalam, Rahim dilaporkan berkata, RCI untuk menyiasat tragedi Memali yang berlaku 32 tahun lalu akan hanya mendedahkan peranan Abdul Hadi yang menjadi punca kepada peristiwa berdarah itu.

Takiyuddin juga berkata, PAS juga memandang serius kandungan buku berjudul 'Memali: Policeman Remembers' yang menyatakan antara lain "pegawai atasan di Bukit Aman tidak sepatutnya menerima arahan daripada 'tuan politik' mereka dan menolak permintaan yang tidak sejajar dengan etika tugas polis".

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS