Pergerakan Pemuda dan Wanita MCA menggesa kerajaan supaya tidak lagi menggubal dasar berasaskan kuota kaum bagi membolehkan semua rakyat Malaysia menikmati kekayaan negara secara sama rata.

Gesaan tersebut terkandung dalam resolusi yang diluluskan dalam perhimpunan agung kedua-dua pergerakan tersebut yang berlangsung di Kuala Lumpur hari ini.

Pemuda dan Wanita MCA mahu kerajaan memastikan Rancangan Malaysia Ke-9 mempunyai dasar untuk terus memupuk perpaduan serta meningkatkan keharmonian hubungan antara pelbagai etnik, budaya dan agama, di samping mengukuhkan kestabilan Malaysia.

Ia adalah 10 resolusi yang diluluskan oleh Pemuda MCA dan 17 resolusi yang diluluskan pergerakan wanitanya hari ini.

Menurut resolusi Pemuda MCA, pergerakan itu berharap kerajaan menghapuskan sebarang pengagihan ekonomi secara berstruktur mengikut kuota kaum, mempertingkatkan pertumbuhan ekonomi dan meneroka pasaran antarabangsa, menggalakkan usahawan tempat menceburi bidang baru, mengkaji undang-undang lapuk demi meningkatkan daya saing dalam mengharungi cabaran globalisasi.

Manakala Wanita MCA pula meminta kerajaan memastikan agar biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam dan tempat di universiti tempatan diberi kepada semua pelajar yang layak secara adil dan telus, tanpa mengira kaum.

Kenaikan harga barang

Dalam resolusinya, pergerakan itu meminta kerajaan menangani secara berhati-hati penarikan balik subsidi bahan api kerana menurutnya, langkah itu menimbulkan kesulitan kepada rakyat dan memberi peluang kepada peniaga yang tidak bertanggungjawab menaikkan harga barang dan menyebabkan berlakunya inflasi.

Wanita MCA juga menyokong penubuhan Majlis Perundingan Ekonomi Cina Malaysia bagi membantu kerajaan dalam penyediaan input, dasar dan strategi untuk merangsang pertumbuhan ekonomi negara.

Di samping itu, menurut Bernama, pergerakan berkenaan meminta Kementerian Dalam Negeri mengusir pelawat, khususnya wanita asing, yang tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan di negara ini bagi mengurangkan kegiatan maksiat seperti pelacuran an penyeludupan wanita.

Sementara itu, Pemuda MCA pula meminta kerajaan bersikap adil terhadap pembangunan sekolah rendah kebangsaan Cina dan membina lebih banyak sekolah Cina di kawasan yang padat dengan kaum itu.

Mereka juga menggesa kerajaan supaya melaksanakan sistem meritokrasi dan membantah sebarang pelaksanaan sistem kuota dalam pengambilan pelajar ke Institusi Pengajian Tinggi Awam.

Pergerakan itu berkata ia ingin melihat kerajaan dan agensi berkenaan membantu nelayan dan petani Cina, termasuk memberi tanah, insentif atau pinjaman tanpa faedah bagi membeli peralatan menangkap ikan dan bercucuk tanam.