Saluran Astro AWANI hari ini membuat permohonan maaf atas kesilapan video pengumuman tarikh sambutan Hari Raya Aidiladha yang dibuat semalam.
Melalui satu video bertajuk ‘Buletin Awani Top 5’ yang dimuat naik di Facebooknya, Astro AWANI menyampaikan permohonan maaf secara terbuka dan mengakui kesilapan tersebut.
"Kami memohon maaf atas kesilapan pengumuman tarikh Hari Raya Aidiladha dalam buletin sebelum ini," kata penyampai berita dalam video tersebut sebelum disusuli video pengumuman yang sebenar.
Astro AWANI tersilap menyiarkan video rakaman awal yang
dibuat sebagai persediaan sebelum melihat anak bulan.
Dalam video itu, Penolong Setiausaha Majlis Raja-Raja, Aseral Jusman, mengumumkan Hari Raya Haji akan disambut seluruh umat Islam di negara ini pada 2 September 2017.
Susulan kesilapan itu, pihak Astro menerima pelbagai kecaman pengguna media sosial yang menganggap kesilapan tersebut tidak sewajarnya terjadi.
Tarikh sebenar Hari Raya Aidiladha ditetapkan pada hari Jumaat bersamaan 1 September 2017.