Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K'jaan masih tanggung rawatan penjawat awam, pesara di IJN
Diterbitkan:  Aug 24, 2017 6:35 AM
Dikemaskini: Aug 24, 2017 4:40 AM

Kerajaan masih menanggung kemudahan perubatan pesakit pegawai kerajaan, pesara Persekutuan serta pesakit kurang mampu yang mendapatkan rawatan di Insitut Jantung Negara (IJN).

Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Datuk Seri Dr Chen Chaw Min berkata bagi pegawai Persekutuan, kerajaan turut menanggung kemudahan perubatan untuk keluarganya sama ada suami/isteri, anak berumur bawah 18 tahun atau sekiranya masih belajar di bawah umur 21 tahun serta ibu bapa yang sah.

“Golongan itu perlu memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan dalam beberapa peraturan yang berkuat kuasa sebelum kos rawatan mereka ditanggung Kementerian Kesihatan," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Satu daripada syarat yang ditetapkan sebelum mendapat rawatan di IJN adalah pegawai dan pesara kerajaan Persekutuan perlu mendapat rujukan dari pakar perubatan umum, pakar kardiologi dari hospital atau klinik kerajaan atau swasta.

"Bagi pesakit yang kurang mampu, mereka perlu mendapat rujukan dari pakar perubatan umum, pakar kardiologi dari hospital atau klinik kerajaan sahaja,” katanya.

Dr Chen berkata demikian ketika mengulas maklumat yang tular di media sosial kononnya kerajaan Persekutuan tidak lagi menanggung kemudahan perubatan penjawat awam di IJN.

Beliau berkata kerajaan sentiasa komited untuk memberikan perkhidmatan kesihatan yang terbaik kepada rakyat dengan kerajaan membelanjakan RM435.65 juta untuk membiayai kos rawatan pesakit tanggungan kerajaan di IJN pada tahun lepas.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS