Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anak Hadi minta sejam bagi bapanya jelaskan amanat
Diterbitkan:  Aug 24, 2017 12:28 PM
Dikemaskini: 4:33 AM

Ketua Pemuda PAS Muhammad Khalil Abdul Hadi memohon supaya bapanya yang juga Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang diberi tempoh sejam secara langsung di stesen televisyen tempatan untuk menjelaskan kontroversi 'Amanat Hadi' yang didakwa mencetuskan tragedi berdarah Memali pada 1985.

Sinar Harian juga memetik Muhammad Khalil sebagai menolak dakwaan bapanya berkeberatan berjumpa wartawan bagi menjawab persoalan itu.

“Beri satu jam siaran langsung untuk Tok Guru jawab. Sila beri ruang kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi (Awang) untuk menjawab isu (Amanat Hadi) secara langsung di televisyen tempatan.

“Sebab isu ini bila ditimbulkan dahulu, Tok Guru (Datuk Seri Abdul Hadi) pernah minta satu jam mengulas tetapi tidak diberikan ruang.

“Kalau pihak terbabit memberikan peluang itu kepada Tok Guru untuk jawab isu ini dalam televisyen tempatan adalah lebih baik,” katanya kepada akhbar itu.

Selasa lalu bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor dipetik sebagai berkata bahawa Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Memali hanya akan mendedahkan peranan Hadi dalam mempengaruhi penglibatan ahli PAS dalam insiden itu.

Rahim yang adalah Ketua Polis Selangor ketika kejadian itu, berkata "Amanat Hadi" memberi inspirasi kepada ramai ahli PAS, termasuk Ibrahim Mahmud @ Ibrahim Libya, yang menjadi watak utama peristiwa Memali.

Insiden itu tercetus pada 19 Nov 1985 dan menyaksikan 18 kematian, termasuk empat anggota polis dan Ibrahim.

Beliau berkata "Amanat Hadi" melabelkan umat Islam yang tidak mengamalkan Islam sebagai cara hidup yang lengkap, termasuk politik, sebagai kafir.

Antara petikan "Amanat Hadi" itu adalah:

"Percayalah, kita menentang Umno, bukan kerana nama dia Umno. Kita menentang Barisan Nasional bukan kerana dia lama memerintah kerajaan. Kita menentang dia ialah kerana dia mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan peraturan jahiliyah. Oleh kerana itulah kita menentang mereka. Oleh kerana itulah kita menghadapi mereka. Oleh itulah kita cuba berlawan dengan mereka.

"Perjuangan kita adalah jihad, ucapan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad. Bergantunglah kita kepada Allah dengan (menghadapi) puak-puak ini kerana kalau kita mati melawan puak-puak ini, mati kita adalah syahid. Mati kita adalah Islam. Kita tidak perlu masuk Buddha, kita tidak perlu masuk Hindu, kita tidak perlu masuk Kristian, tapi kita menjadi kafir dengan mengamalkan politik suku, agama suku."

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS