Bekas Ketua Polis Negara (IGP) Tan Sri Musa Hassan menyokong penubuhan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi peristiwa berdarah Memali, pada tahun 1985 dan berharap ia mampu memberi pembelaan terhadap anggota polis yang terkorban.

“Ramai pihak mahu RCI Memali ditubuhkan supaya waris tragedi itu mendapat pembelaan sewajarnya tetapi kurang mengendahkan waris anggota polis yang terkorban.

“Oleh sebab itu, saya setuju RCI ini ditubuhkan supaya anggota terkorban mendapat pembelaan dan siapa yang menjadi dalang Memali didedahkan kepada rakyat Malaysia,” katanya yang dipetik akhbar Sinar Harian.

Beliau menggesa mereka yang tidak mengetahui kejadian itu untuk membaca Kertas Putih kerajaan, kerana polis telah menjalankan siasatan mereka terhadap pertembungan antara polis dan penyokong PAS Kedah, Ibrahim Mahmud, alias Ibrahim Libya.

“Kalau ada pihak tidak percaya dengan Kertas Putih itu, kita nak percaya kepada siapa?” soalnya.

Bekas IGP turut mempertahankan tindakan polis pada kejadian 1985 yang berlaku di sebuah kampung di Kedah.

“Malah, anggota polis telah pergi ke Kampung Memali beberapa kali dan meminta anggota kumpulan yang anti-kerajaan ini menyerah diri namun mereka enggan berbuat demikian,” katanya.

[Baca berita penuh]