Demo anti-ISA: 6 aktivis pelajar didakwa
Enam aktivis pelajar, dan seorang pemuda, yang ditangkap ketika perhimpunan bagi membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada awal Jun lalu didakwa di Mahkamah Magistret Kuala Lumpur pagi tadi.
Ahmad Kamal Abd Hamid, Khairul Amal Mahmood, Nik Noorhafizi Nik Ismail Nik Ibrahim, Rafzan Ramli, Wan Mohd Sanusi Wan Mohd Noor dan Zulkifli Idris ditangkap lebih kurang jam 2.30 petang pada 8 Jun lalu di depan Masjid Negara.
Perhimpunan itu dianjurkan oleh gabungan 12 persatuan pelajar yang dikenali Gerakan Mahasiswa Mansuhkan ISA (GMMI).
Turut ditahan seorang kakitangan swasta, Hilman Sanuddin.
Dua pelajar itu daripada Universiti Kebangsaan Malaysia, dua lagi daripada Universiti Malaya dan masing-masing seorang daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Putra Malaysia.
Rafzan, pelajar tahun dua UiTM, dipecat 22 Jun lalu ekoran kejadian ini tetapi diterima meneruskan kembali pelajaran selepas bahagian Hal Ehwal Pelajar menerima rayuannya.
Tujuh orang itu dituduh di bawah seksyen 27(5) Akta Polis atau kesalahan menyertai perhimpunan tanpa permit.
Magistret Lim Kui Lee membenarkan mereka diikat jamin RM2,500 tiap seorang. Kes itu akan disebut pada 15 dan 16 Oktober ini.
Kumpulan pelajar ini diwakili peguam bela Musa Ismail dan Wan Razali Wan Kadir, sementara timbalan pendakwaraya Ahmad Bache.
Kira-kira 200 pelajar pusat pengajian tinggi tempatan, termasuk wanita, mengadakan perhimpunan itu sempena tempoh 60 hari tangkapan aktivis reformasi di bawah akta itu.
Tujuh orang itu ditahan hampir 24 jam di balai polis Dang Wangi, Kuala Lumpur dan dibebaskan dengan jaminan polis.
Mereka melapor diri di balai yang sama jam 9 pagi hari ini dan kemudiannya dibawa ke mahkamah Jalan Raja.
Jika sabit kesalahan, aktivis-aktivis pelajar itu boleh didenda antara RM2,000 hingga RM10,000 atau dipenjara tidak lebih setahun.
GMMI, gabungan 12 kumpulan pelajar, dilancarkan pada Mei lalu sebagai menggesa pemansuhan ISA selepas 10 aktivis reformasi dan pemimpin Parti Keadilan Nasional ditahan mengikut akta itu antara 10 hingga 26 April lalu.
Polis mendakwa operasi tangkapan itu sebagai langkah menghalang usaha "menggulingkan kerajaan dengan cara-cara militan."
Dua pemimpin pelajar baru-baru ini, yang dipercayai mempunyai kaitan dengan GMMI, ditahan di bawah akta itu.
Pelajar Institut Kemahiran Mara (IKM) Khairul Anuar Ahmad Zainuddin ditahan 5 Julai, sementara Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) Mohamad Fuad Mohd Ikhwan pula ditangkap sehari selepasnya.
Pemimpin pelajar UM itu dibebaskan Isnin, sementara Khairul Anuar masih lagi dalam tahanan polis.
Khairul Anuar ditangkap ketika mengiringi enam aktivis siswa - yang didakwa hari ini - ke balai Dang Wangi berhubung siasatan kes perhimpunan itu.

