Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Siti Hasmah, aktivis berhimpun bantah politik toksik

Sekumpulan aktivis wanita tersohor akan mengadakan perhimpunan aman dikenali sebagai "Wanita Bantah Politik Toksik" pada 10 September ini di Kuala Lumpur untuk menyatakan penolakan terhadap politik toksik.

Perhimpunan itu akan bermula pada jam 5 petang sehingga 6.45 petang dan peserta akan berkumpul di depan kompleks beli-belah Maju Junction sebelum berarak ke pusat membeli-belah Sogo.

"Hari ini, keganasan, ancaman terhadap individu, kata-kata rasis, seksis, sifat kebencian antara rakyat dan individu sudah menjadi satu lumrah pemimpin negara.

"Kami menuntut agar perkara-perkara sebegini dihentikan serta-merta dan Perlembagaan Persekutuan serta keluhuran perlembagaan diangkat semula sebagai panduan dalam penyelesaian isu ini," kata jurucakap kumpulan G25, Datuk Noor Farida Ariffin.

Antara aktivis wanita yang menyokong himpunan ini termasuklah isteri bekas perdana Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, bekas presiden Badan Beguam Datuk Ambiga Sreenevasan dan pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah.

Kata Noor Farida, himpunan itu bukan diadakan oleh mana-mana persatuan atau organisasi sebaliknya aktivis wanita yang menyokong himpunan itu adalah atas kapasiti peribadi.

Lupa kecantikan Islam

Beliau berkata sesetengah anggota parlimen memberikan contoh yang buruk kepada masyarakat apabila melemparkan bahasa seksis atau menghina wanita ketika berbahas di Dewan Rakyat.

Walaupun begitu, katanya, kebanyakan anggota parlimen terbabit tidak dikenakan tindakan atau hukuman walapun menggunakan perkataan menghina wanita.

"Kita juga nampak ada kecenderungan mengkritik wanita Islam kerana tidak memakai tudung, skirt terlalu pendek atau komen mengenai bentuk badan.

"Politik dan kerajaan kita nampaknya menggalakkan isu Islam dijadikan sebagai bahan politik dan fikiran mereka terhadap agama Islam amat sempit serta konservatif, selain tertumpu kepada perkara remeh-temeh seperti wanita patut menutup aurat atau tidak.

"Mereka sudah lupa kecantikan Islam. Islam menegak keadilan, belas kasihan, kebaikan tetapi mereka hanya menumpu kepada hukuman," kata Noor Farida (gambar, kiri).

Sementara itu Dr Siti Hasmah pula berkata sebagai wanita beliau selalu mengikut suaminya ke merata tempat termasuk menyertai aktiviti politik.

Justeru, katanya, beliau telah melihat banyak aktiviti beralih kepada politik toksik.

Katanya, wanita yang terdiri lebih daripada 50 peratus penduduk negara sebenarnya boleh memain peranan yang lebih baik daripada kaum lelaki.

"Kita rasa tidak senang dengan politik negara hari ini yang telah beralih kepada keganasan.

"Kita lihat dan dengar berkenaan apa yang berlaku di parlimen dan sebagainya.

"Wanita Malaysia perlu mengambil perhatian apa yang berlaku dan perlu bangkit dan menyatakan perhatian kita berkaitan politik toksik.

"Wanita Malaysia mesti bangun dan mesti menggunakan undi kita untuk mendapatkan negara yang bebas, stabil dan aman untuk kita dan anak cucu kita," katanya.

Lihat Komen
ADS