Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
RCI forex: Saksi nafi tiada jawatankuasa pantau transaksi

Suruhanjaya siasatan diraja (RCI) mengenai kerugian urus niaga mata wang asing (forex) Bank Negara pada awal 1990-an diteruskan untuk hari kedua di Istana Kehakiman di Putrajaya hari ini.

Kali ini sesi itu menyaksikan saksi keempat, bekas pegawai Jabatan Audit Dalaman Bank Negara, Wong Yew Sen.

Semasa memberi keterangan Wong menafikan dakwaan Datuk Abdul Murad Khalid bahawa tiada jawatankuasa dalam Bank Negara yang memantau transaksi forex.

Kata Wong, kenyataan bekas penolong gabenor Bank Negara pada 21 Ogos lalu adalah tidak benar memandangkan semakan mendapati ada jawatankuasa ditubuhkan bagi memantau aktiviti berkenaan.

"Jawatankuasa itu ialah External Reserved Committee (ERC), bukannya seorang individu. Namun, had dibenarkan untuk aktiviti forex tidak dinyatakan," katanya dalam kamar Istana Kehakiman, sebagai saksi pertama pada prosiding kedua, hari ini.

Pada 27 Januari lalu, Abdul Murad pernah menyatakan aktiviti forex oleh bank pusat itu menyebabkan kerugian sebanyak AS$10 bi­lion (RM44 bilion) sepanjang tempoh 1991 hingga 1993.

Abdul Murad berkata, tindakan dalaman tidak diambil bagi memastikan pihak yang terlibat menggantikan semula dana rezab yang hilang akibat transaksi berkenaan.

"Tiada jawatankuasa dalam Bank Negara yang memantau transaksi ini. Semuanya dilakukan oleh seorang individu," kata Abdul Murad.

Wong berkata, secara peribadi beliau tidak mempunyai sebarang maklumat jika ada mana-mana pihak dalam Bank Negara memperolehi faedah peribadi akibat urus niaga forex itu yang menyebabkan kerugian kepada kerajaan.

"Saya tidak tahu terdapat sesiapa dipertanggungjawabkan atas kerugian dialami Bank Negara berhubung urus niag mata wang asing dalam laporan audit, kerana ia bukan objektif penyedian audit," katanya.

Laporan audit berkenaan tidak didedahkan kerana Bank Negara menuntut laporan terbabit hanya didedahkan kepada panel RCI yang menyiasat perkara berkenaan.

Diluluskan Ketua Audit Negara

Tambah Wong, laporan audit pada 1992 mendapati berdasarkan dokumen yang ada, transaksi forex merekodkan kerugian sebanyak RM8.5 bilion.

"Merujuk kepada laporan audit, dinyatakan bahawa sejumlah RM9.3 bilion berkurangan dari akaun other reserved pada 31 Disember 1992.

"Ia adalah akibat daripada aktiviti forex berjumlah RM8.5 bilion yang dicaj ke akaun tersebut.

"Saya tidak boleh katakan tindakan caj kerugian forex itu ke dalam akaun other reserve betul tetapi penyata kewangan dikemukakan dan diluluskan Ketua Audit Negara," kata Wong sewaktu siasatan RCI dijalankan.

RCI itu yang diketuai bekas pengerusi Petronas Tan Sri Mohd Sidek Hassan ditubuhkan untuk menentukan kesahihan dakwaan kerugian itu disebabkan spekulasi pertukaran mata wang, sama ada aktiviti Bank Negara dalam urus niaga forex bercanggah dengan Ordinan Bank Pusat 1958 atau undang-undang lain, dan sama ada wujud cubaan untuk menutup kerugian itu daripada pengetahuan umum.

Panel lain RCI itu ialah:

  • Datuk Kamaludin Md Said - hakim mahkamah tinggi
  • Datuk Seri Tajuddin Atan - Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Berhad
  • Tan Sri Saw Choo Boon - Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan
  • Pushpanathan S A Kanagarayar - anggota Institut Akauntan Malaysia, Ahli Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia serta bekas rakan kongsi firma Ernst & Young
  • Datuk Dr Yusof Ismail Setiausaha Bahagian Pelaburan Strategik, Kementerian Kewangan
Lihat Komen
ADS