Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pegawai Rosmah ibarat sindir Najib, kata setiausaha Azmin
Diterbitkan:  Aug 24, 2017 5:54 PM
Dikemaskini: 3:33 PM

Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor Shuhami Shafiei menyelar pembantu khas kepada isteri perdana menteri - Datuk Rizal Mansor sebagai sinikal terhadap majikannya sendiri.

Shuhaimi merujuk dakwaan Rizal bahawa kerajaan Selangor hipokrit dan cakap tak serupa bikin apabila mempertikai siasatan SPRM ke atas Universiti Selangor (Unisel) dan Menteri Besar Diperbadankan (MBI).

“Amat malang kedudukan sebagai seorang pegawai khas yang setiap masa hampir dengan perdana menteri mengeluarkan kenyataan seolah-olah menyindir perdana menteri sendiri yang sehingga hari ini masih belum bersedia disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) walaupun wujud banyak elemen yang boleh membawa kepada siasatan SPRM,” katanya dalam satu kenyataan media.

SPRM pada 22 Ogos lalu menyerbu Unisel serta empat tempat lain yang dikaitkan dengan institusi pengajian tinggi yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan Selangor itu.

Mengulang kenyataan terbuka Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali, Shuhaimi mengalu-alukan siasatan SPRM, namun berharap agar siasatan itu dilakukan dengan telus dan tidak pilih kasih.

“Kita berharap agar siasatan SPRM mestilah telus dan terbuka dan bukanlah bersifat selective investigation (siasatan terpilih) atau pun selective prosecution (pendakwaan terpilih) serta double standard dari sudut tindakan siasatan.

“Rakyat dapat melihat secara jelas dalam kes Tan Sri Isa Samad, bertahun masa diambil sebelum siasatan dimulakan namun berbeza dengan tuduhan ke atas Unisel yang hanya dalam tempoh singkat digempur SPRM selepas laporan dibuat.

“Tindakan SPRM juga berbeza dengan kes yang melibatkan exco Pulau Pinang yang digari seumpama penenayah ganas berbanding Tan Sri Isa Samad yang dilayan ala kadar,” katanya.

Dalam kenyataan sama, Shuhaimi juga mempersoal sama ada perlantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baru mempunyai kaitan dengan percubaan menutup siasatan skandal 1MDB.

Sehubungan itu, Shuhami menggesa Rizal menjelaskan keengganan Najib menjawab soalan berhubung skandal 1MDB di Dewan Rakyat dan alasan Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) 1MDB masih di bawah Akta Rahsia Rasmi.

“SPRM wajar mulai esok menggempur Pejabat Perdana Menteri dan 1MDB dalam mencari bukti jenayah rasuah serta pendakwaan mestilah dilakukan dengan kadar segera,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Rizal menanggapi kenyataan Suhaimi yang membangkitkan soal 1MDB sebagai percubaan kerajaan Selangor mengalihkan isu.

"Untuk pengetahuan Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, 1MDB telah disiasat secara mendalam bukan sahaja oleh SPRM, malah siasatan turut dilakukan oleh Bank Negara, Jabatan Peguam Negara dan PDRM.

"Adakah YB telah lupa berapa banyak dokumen yang ‘diangkut’ oleh pihak berkuasa dari pejabat 1MDB satu masa dahulu?" katanya melalui laman facebook.

Lihat Komen
ADS