Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Kerajaan Selangor cakap tak serupa bikin'
Diterbitkan:  Aug 23, 2017 9:09 PM
Dikemaskini: 1:29 PM

Pegawai Khas Perdana Menteri, Datuk Rizal Mansor mendakwa, kerajaan Selangor dilihat cakap tak serupa bikin kerana mempertikai tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam.

Semalam, SPRM menyerbu Universiti Selangor (Unisel) dan Menteri Besar Diperbadankan (MBI) bagi menyiasat pertikaian kontrak membabitkan pusat pengajian itu dengan bekas kontraktornya, Jana Niaga Sdn Bhd.

Ekoran serbuan itu, Pengarah Komunikasi Strategik di Pejabat Menteri Besar Selangor, Yin Shao Long dalam kenyataannya semalam berkata, tindakan SPRM itu dilihat sebagai tindakan terancang bertujuan menjejaskan imej kerajaan Selangor.

Sehubungan itu, Rizal berkata, kerajaan Selangor tidak sepatutnya takut dengan siasatan yang dijalankan oleh SPRM serta perlu menunjukkan ketelusan yang dijaja selama ini.

"Baru disiasat sudah mula beri pelbagai alasan dan tuduhan. Jelaslah bahawa (Datuk Seri) Azmin Ali dan kuncu-kuncunya adalah politikus yang cakap tak serupa bikin.

"Beri kerjasama sepenuhnya dan jangan buat tuduhan melulu kepada pihak berkuasa.

"Apa yang perlu ditakutkan? Ini masanya untuk mereka tunjuk ketelusan dan kejujuran yg dijaja selama ini," kata Rizal dalam Facebooknya.

Malah, Rizal turut mempertikaikan sikap sesetengah pembangkang yang gemar membuat kesimpulan apabila terdapat siasatan yang melibatkan ahli politik BN.

Rizal turut menyelar pembangkang dengan menggelar mereka sebagai hipokrit kerana dilihat langsung tidak boleh disentuh.

"Bila ada pegawai kerajaan atau ahli politik BN diambil tindakan seperti kes Felda dan kes status perumahan di Johor, pembangkang tiba-tiba menyokong tindakan SPRM pula.

"Bila SPRM siasat perkara yang berkaitan dgn mereka, maka semuanya tidak betul. Bagi mereka semuanya adalah konspirasi dan salah guna kuasa pihak atasan untuk menjatuhkan pembangkang.

"Jadi apakah mereka ni tidak langsung boleh disentuh? Amat jelas bahawa mereka ini benar-benar hipokrit," katanya lagi.

Tindakan SPRM semalam dipercayai dibuat berdasarkan laporan ke atas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali dan MBI berhubung pertikaian antara Unisel dan Jana Niaga.

Syarikat Jana Niaga dituduh menerima bayaran walaupun gagal memenuhi kontraknya bersama Unisel.

Bagaimanapun MBI mendakwa bayaran berkenaan dibuat kepada Jana Niaga mengikut keputusan timbang tara mahkamah.

Lihat Komen
ADS