Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
IJN nafi kenyataan tular mengenai surat jaminan
Diterbitkan:  Aug 24, 2017 6:09 PM
Dikemaskini: 10:11 AM

IJN menafikan hari ini kenyataan yang tular di media sosial berhubung isu surat jaminan (GL) yang didakwa dikeluarkan oleh IJN atau kakitangannya.

Sebaliknya IJN memaklumkan institut perubatan berkenaan sedia berkhidmat untuk semua kategori pesakit yang mendapatkan rawatan berdasarkan polisi perlindungan kesihatan ditetapkan oleh majikan ke atas pekerja dan/atau tanggungan mereka.

Baru-baru ini tular di Facebook dan aplikasi Whatssap satu kenyataan bertarikh 9 Ogos kononnya permohonan GL bagi IJN adalah sama seperti hospital swasta yang lain dan kemudahan perubatan tidak lagi diberikan kepada ibu bapa dan pasangan kakitangan kerajaan.

"Kami ingin memaklumkan bahawa Institut Jantung Negara Sdn Bhd adalah sebuah entiti korporat yang beroperasi di bawah Menteri Kewangan (Diperbadankan). IJN merupakan sebuah hospital swasta milik kerajaan sejak penubuhannya pada tahun 1992.

"Sebagai hospital tertiari, IJN menerima semua jenis surat jaminan dari semua agensi kerajaan sama ada persekutuan, negeri ataupun badan berkanun, syarikat swasta dan juga pesakit persendirian yang datang ke IJN sendiri," menurut kenyataan berkenaan.

Kenyataan itu menyebut pesakit yang ingin mendapatkan rawatan di IJN dengan mengunakan surat jaminan kerajaan atau syarikat korporat, dinasihatkan merujuk pekeliling agensi/organisasi atau dasar syarikat terlebih dahulu untuk mendapatkan pemprosesan prosedur yang betul.

Ini kerana. katanya, polisi perlindungan kesihatan atau surat jaminan yang dikeluarkan kepada pekerja dan/tanggungan mereka adalah tertakluk kepada kelayakan yang telah ditetapkan oleh majikan di agensi, organisasi dan syarikat masing-masing.

- Bernama

Lihat Komen
ADS