Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Anggota akar umbi PKR Kelantan yang mendakwa menggerakkan kempen mendapatkan tandatangan bagi mengukuhkan gesaan supaya pemimpin mereka meletak jawatan diminta membuktikan memorandum itu benar-benar wujud.

Bercakap kepada Malaysiakini, Ketua Komunikasi PKR Kelantan Mohd Sukirman Mustafa berkata setakat ini khabar mengenai memorandum itu hanya bersifat khabar angin saja.

"Kami pimpinan di peringkat negeri dan cabang tidak menerima apa-apa maklumat atau dokumen, sebaliknya memorandum itu dikatakan tular melalui WhatsApp," katanya.

Pada masa sama Mohd Sukirman juga menegaskan semua 14 ketua cabang yang ada di Kelantan, serta ketua pemuda serta wanita PKR sudah menyatakan ikrar taat setia kepada kepimpinan Ab Aziz Ab Kadir.

Justeru, katanya, dakwaan dibuat segelintir anggota PKR bahawa mereka enggan menyokong Ab Aziz berniat jahat serta tidak bertanggungjawab.

"Kalau betul ada memorandum itu, buktikan. Jika tidak ia sekadar hear say (khabar angin)," katanya.

Hari ini Malaysiakini melaporkan, ada pihak dalam PKR Kelantan sedang giat menjalankan kempen mendapatkan sokongan anggota akar umbi bagi menyingkirkan Ab Aziz sebagai pengerusi negeri.

Ia diakui sendiri Pengarah Pilihan Raya PKR Kota Bharu Ahmad Syauqey Abdul Ghani (gambar).

Menurut Ahmad Syauqey krisis kepimpinan PKR Kelantan memang diketahui ketua-ketua di peringkat cabang namun sebahagiannya cenderung untuk menyokong Ab Aziz atas faktor tertentu.

"Namun sebahagian lagi berdiam diri untuk sementara kerana proses mendapatkan sokongan pada memorandum ini sedang berjalan," katanya.

Tindakan PKR Kelantan yang terus mahu berunding atau bekerjasama dengan PAS serta enggan meletakkan jawatan seperti arahan biro politik, kata Ahmad Syauqey, menyebabkan rasa tidak puas hati anggota akar umbi.

Mohd Sukirman berkata tindakan pihak terbabit juga bertujuan mahu merosakkan reputasi Ab Aziz serta pemimpin PKR Kelantan selain terselindung kepentingan tertentu.

"Kami tetap komited dengan Pakatan Harapan dan PKR pusat, malah esok akan diadakan majlis pelancaran rasmi gabungan ini di Machang dengan dihadiri Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Mohamad Sabu dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir," katanya.

Justeru kata Mohd Sukirman pihaknya yakin anggota PKR Kelantan akan tetap menyokong kepimpinan Ab Aziz, bersatu serta tidak termakan dengan propaganda diuar-uarkan itu.

"Mungkin pihak terbabit mempertikaikan kepimpinan negeri didorong oleh rasa tidak puas hati dengan tuntutan tertentu tetapi secara umumnya PKR Kelantan tidak berpecah," katanya.

Lihat Komen
ADS