Seorang bapa dan anak gadisnya maut apabila kereta dinaiki mereka terbakar akibat kemalangan membabitkan empat kereta di KM9 Jalan Kluang-Batu Pahat, dekat Batu Pahat, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Abdul Wahib Musa berkata mangsa dikenal pasti sebagai Mohd Irwan Shah Mohd Yusop, 36, dan Nur Shahzanani Mohd Irwan Shah, 17, kedua-duanya berasal dari Kampung Parit Bengkok, Sri Gading, Batu Pahat.

"Kemalangan berlaku pada jam 8.30 malam itu melibatkan kereta Perodua Myvi dinaiki anak beranak terbabit selain kereta Ford Fiesta, Honda Civic serta Proton Satria," katanya menerusi kenyataan malam tadi.

Abdul Wahib berkata kemalangan dipercayai berlaku apabila Mohd Irwan Shah yang datang dari arah Sri Gading menuju ke Batu Pahat hilang kawalan ke atas kereta dipandunya lalu melanggar penghadang tengah jalan dan memasuki lorong bertentangan.

Beliau berkata pada masa sama, kereta Ford Fiesta pula datang dari arah bertentangan dan bertembung dengan kereta Mohd Irwan Shah.

"Kemudian, Honda Civic pula datang dari arah Batu Pahat cuba mengelak Ford Fiesta dan melanggar belakang Ford Fiesta manakala kereta Proton Satria datang dari arah Sri Gading pula cuba mengelak ke sebelah bahu kiri jalan dan melanggar serpihan kereta Mohd Irwan Shah," katanya.

Menurut Abdul Wahib, akibat perlanggaran itu, Mohd Irwan Shah dan Nur Shahzanani terbakar kira-kira 80 peratus di dalam kereta mereka dan mati di tempat kejadian manakala pemandu Ford Fiesta pula cedera parah dan dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat untuk rawatan.

Abdul Wahib berkata tempat kemalangan merupakan jalan lurus dan mempunyai garisan tengah putus-putus sebagai tanda pemisah jalan, namun, keadaan gelap kerana tidak berlampu.

- Bernama