Pekerja cedera, pemampat alat pendingin hawa meletup
Seorang pekerja wanita cedera di muka, manakala seorang pekerja penyelenggaraan melecur pada kaki kiri, muka dan tangan apabila pemampat gas alat pendingin hawa sebuah kilang komponen elektronik di Jalan Ragum, Seksyen 15 di Shah Alam meletup petang semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam, Azmel Kamarudin berkata letupan itu berlaku ketika beberapa pekerja kontraktor penyelenggaraan warga Bangladesh mengisi gas ke dalam alat pendingin hawa.
Katanya pada masa yang sama, beberapa pekerja lain membuat kerja-kerja kimpalan komponen elektronik berdekatan alat pendingin hawa itu.
“Letupan terhasil akibat percikan api daripada kerja kimpalan itu dengan gas yang sedang diisi ke dalam pemampat alat pendingin hawa berkenaan. Lokasi alat itu pula diletakkan di kawasan agak tertutup dan aliran udara kurang berlaku,” katanya ketika dihubungi Bernama semalam.
Azmel berkata dalam kejadian kira-kira jam 5.15 petang itu, pekerja wanita berkenaan cedera akibat pintu pejabat bersebelahan tempat alat pendingin hawa itu diletakkan, terpelanting, lalu terkena mangsa.
Kedua-dua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Shah Alam untuk rawatan lanjut manakala empat lagi pekerja yang terkena serpihan letupan mendapat rawatan pesakit luar.
Azmel berkata bomba menerima panggilan kecemasan pada 5.30 petang.
- Bernama

