Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Jangan jadikan rakyat mangsa tanggung hutang k’jaan’
Diterbitkan:  Aug 25, 2017 12:31 PM
Dikemaskini: 4:37 AM

PKR hari ini menasihatkan kerajaan supaya lebih berhemat daripada segi hutang dan defisit fizikal memandangkan kedudukan kewangan masih dalam kedudukan sukar disebabkan ekonomi yang perlahan.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerajaan perlu menguruskan kewangan sebaiknya agar dapat berdaya tahan untuk menghadapi ekonomi yang perlahan pada separuh kedua tahun ini.

“Tetapi saya rasa keadaan itu tidak mungkin berlaku, jika pentadbiran kerajaan Umno BN di bawah pemerintahan Najib secara terus melakukan pemborosan, ketirisan, penyelewengan dan rasuah, akhirnya hutang negara akan kian bertambah.

“Tambahan pula, Ringgit Malaysia pernah menjadi matawang paling lemah di kalangan negara Asia Tenggara pada 2016.

“Ramai pelabur-pelabur asing menarik diri keluar dari negara ini kerana tidak yakin dengan pengurusan kewangan sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Memetik majalah, The Economist dalam laporan Ogos 2015, katanya, nilai ringgit telah jatuh sebanyak 9.8 peratus berbanding dolar Amerika penurunan yang ketara berbanding dengan baht Thailand yang merosot 6.4 peratus.

Menurut Saifuddin, jika kerajaan tidak mengambil tindakan untuk mengukuhkan polisi kewangan, maka nilai ringgit berkemungkinan akan jatuh lebih teruk lagi pada tahun 2017.

Beliau juga mengambil maklum nasihat yang diberikan oleh Pengerusi CIMB Group Holdings, Datuk Nazir Razak supaya rakyat negara ini bersedia menghadapi ekonomi yang lebih perlahan.

Nazir dipetik sebagai berkata, penganalisis menjangkakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada lebih kurang 5 peratus bagi 2017 yang mengikut definisinya bersamaan dengan separuh kedua yang perlahan.

“Imej negara juga terjejas disebabkan oleh skandal 1MDB sedang disiasat oleh beberapa buah negara sehingga mengusarkan pelabur.

“Saya berharap kerajaan Umno BN perlu lebih berhemat memandangkan kedudukan kewangan masih dalam kedudukan sukar disebabkan ekonomi yang perlahan.

“Dengan beban hutang yang ada, kerajaan jangan sesekali jadikan rakyat sebagai taruhan atau mangsa untuk menanggung segala ketirisan yang dilakukan oleh mereka sendiri,” katanya.

Lihat Komen
ADS