Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dihambat skandal beras, PM Thai lari ke luar negara
Diterbitkan:  Aug 25, 2017 3:11 PM
Dikemaskini: 8:28 AM

GLOBAL Yingluck Shinawatra, yang digulingkan oleh rampasan kuasa tentera, telah terbang ke luar negara setelah mahkamah mengeluarkan waran tangkap terhadapnya.

Perkara itu disahkan sumber yang rapat dengan bekas perdana menteri Thailand itu hari ini.

“Beliau sudah tinggalkan Thailand,” kata salah seorang sumber yang juga anggota parti Shinawatra, Puea Thai kepada Reuters.

Sumber itu enggan dinamakan kerana tidak diberi kuasa untuk bercakap bagi pihak Yingluck. Seorang lagi sumber mengesahkan Yingluck tidak lagi berada di negara gajah putih itu.

Tiada butiran lanjut didedahkan.

Bahagian Jenayah untuk Pemegang Jawatan Politik di Mahkamah Agung Thailand dilapor mengeluarkan waran tangkap terhadap Yingluck setelah beliau gagal hadi di mahkamah hari ini.

Beliau sepatutnya hadir mendengar keputusan terhadapnya berhubung kes kecuaian melaksanakan skim subsidi beras yang menjadi kontroversi semasa di bawah kepimpinannya.

Sekiranya didapati bersalah, perdana menteri wanita pertama Thailand itu boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun.

Semasa prosiding bermula pada 9 pagi tadi, peguam Norrawit Larlaeng yang mewakili Yingluck memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya tidak dapat hadir ke mahkamah kerana mempunyai masalah kesihatan.

Norrawit memohon mahkamah menangguhkan prosiding hari ini kepada 27 September depan.

Bagaimanapun, mahkamah menolak alasan itu dan mengeluarkan waran tangkap terhadap Yingluck, adik perempuan bekas seorang lagi perdana menteri negara itu, Thaksin, yang kini dalam buangan di negara yang tidak didedahkan.

Mahkamah merampas wang jaminan 30 juta Baht (RM3.75 juta) yang dibayarnya semasa perbicaraan kesnya bermula.

Ditanya di mana Yingluck berada, Larlaeng berkata beliau tidak tahu menahu mengenainya atau sama ada bekas perdana menteri itu masih berada di Thailand.

Kegagalan Yingluck menghadiri prosiding mahkamah hari ini telah pun menimbulkan keraguan beliau mungkin merancang mengikut langkah abangnya melarikan diriuntuk mengelakkan tindakan mahkamah.

Kerajaan mendakwa berlakunya kerugian kewangan berjumlah 500 bilion Baht (kira-kira RM62 bilion) daripada skim subsidi padi yang dilaksanakan semasa pentadbiran Yingluck.

Sementara itu, di perkarangan Mahkamah Agung yang dikawal ketat, beberapa ribu penyokong Yingluck membawa plakad dan bunga sejak awal pagi yang sekali sekali hujan, bagi memberi sokongan kepada pemimpin mereka itu.

Ketika berita beliau tidak hadir di mahkamah mula tersebar dalam kalangan penyokongnya, ramai di antara mereka beredar meninggalkan lokasi itu dalam keadaan sedih.

Kira-kira 4,000 anggota polis ditugaskan untuk berkawal di dalam dan di sekitar bangunan Mahkamah Agung hari ini.

Lihat Komen
ADS