Naib Presiden PAS Datuk Iskandar Samad menolak dakwaan terdapat usaha membentuk pakatan Umno-PAS untuk merampas Selangor bawah pentadbiran menteri besar PKR Datuk Seri Azmin Ali.

“Tidak mungkin pakatan PAS-Umno dapat merampas Selangor.

“Kajian yang dilakukan menunjukkan majoriti rakyat Selangor menyokong kerajaan sekarang,” katanya yang juga exco negeri.

Katanya, tidak sampai 10 peratus rakyat negeri itu yang tidak bersetuju dengan dasar kerajaan negeri sedia ada.


Berkaitan: Laporan: Najib-Hadi bincang pakatan rampas S'gor


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilapor sedang mengusahakan pakatan pilihan raya untuk merampas Selangor dalam pilihan raya umum akan datang.

Memetik sumber, Straits Times Singapura mendakwa kedua-dua pemimpin Melayu itu “berhubung hampir setiap hari untuk tempoh beberapa bulan”.

Laporan itu juga menyebut bahawa mereka sering berbual dalam telefon selepas Hadi selesai menjalani pembedahan jantung Mei lalu.

Bercakap kepada Malaysiakini hari ini, Iskandar berkata laporan itu hanya spekulasi tanpa bukti yang kukuh.

“Tujuan laporan itu adalah dicurigai,” katanya.

Ditanya sama ada PAS mempertimbangkan kerjasama dengan PKR, terutamanya di Selangor, beliau berkata beliau tidak tahun tetapi yakin kepimpinan PAS Selangor akan membuat keputusan terbaik.

Khairuddin: Selangor patut ditadbir PAS

Sementara itu, Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Khairuddin Aman Razali juga menolak dakwaan Straits Times yang menurutnya “berulang kali membangkitkan dakwaan Pakatan Harapan terhadap PAS.”

Katanya, PAS tetap melawan kedua-dua pihak tidak kira BN atau HARAPAN.

“Islam patut diberi peluang untuk menang, Selangor patut ditadbir oleh PAS,” katanya.

Sementara itu Pengarah Pusat Penyelidikan PAS (PPP) Dr Mohd Zuhdi Marzuki pula memberikan jawapan tersendiri ketika berdepan soalan sama.

Straits Times bukan macam Sahih Bukhari, tak boleh percaya. Itu saja,” kata Zuhdi.

Beliau enggan mengulas panjang ketika dihubungi.

Selangor, sebuah negeri yang dan menjadi kubu kuat BN, jatuh ke tangan Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum 2008.

Gabungan itu bagaimanapun berkubur selepas perselisihan pandangan PAS dan DAP.

DAP dan PKR membentuk gabungan baru Pakatan Harapan bersama serpihan PAS, Parti Amanah Negara (AMANAH).

Bagaimanapun, di peringkat Selangor, PAS masih menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri.

Hadi sebelum ini berkata PAS tiada masalah bekerjasama dengan musuh tradisi mereka Umno dalam perkara berkaitan Islam dan perpaduan Melayu.