Subra tetap pertahan jawatan timbalan presiden MIC
Timbalan Presiden MIC Datuk S Subramaniam hari ini mengulangi pendiriannya untuk mempertahankan jawatannya dalam pemilihan parti itu tahun depan.
Timbalan Presiden MIC Datuk S Subramaniam hari ini mengulangi pendiriannya untuk mempertahankan jawatannya dalam pemilihan parti itu tahun depan.
Subramaniam, yang menjadi timbalan kepada Datuk Seri S. Samy Vellu sejak lebih dua dekad lalu, dijangka dicabar oleh Naib Presiden, Datuk G. Palanivel bagi jawatan timbalan presiden.
"Saya berpegang teguh dengan keputusan untuk mempertahankan jawatan saya. Pemilihan parti ada 10 bulan lagi, masih terlalu jauh. Tak perlulah saya komen setiap hari," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian perhimpunan agung MCA hari ini.
Bagaimanapun, Subramaniam menolak andaian yang beliau akan menentang Samy Vellu bagi merebut jawatan presiden parti dalam pemilihan parti itu yang akan datang.
Beliau juga menegaskan bahawa perpaduan parti perlu dipelihara sekalipun berlaku pertandingan sepertimana yang ditekankan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika merasmikan perhimpunan tersebut.
Pentingkan perpaduan
Menurut Abdullah, yang juga pengerusi BN, walaupun berlaku pertandingan bagi memilih barisan kepimpinan dalam parti komponen BN, parti gabungan itu perlu dipastikan sentiasa menang.
Tanpa merujuk secara khusus kepada mana-mana parti, Subramaniam berkata beliau menyokong pandangan Perdana Menteri bahawa perpaduan dalam sesebuah parti bukan saja penting untuk kemajuannya, malah juga bagi Barisan Nasional (BN) yang memerintah negara ini.
"Ini mesej yang baik bagi semua komponen BN. Yang penting, parti mesti sentiasa kuat dan padu, dengan ini barulah BN dapat memerintah dengan cekap," katanya kepada pemberita selepas majlis tersebut.
Bernama melaporkan, dalam beberapa perjumpaan tertutup dengan pemimpin bahagian MIC bulan lalu, Samy Vellu yang juga Menteri Kerja Raya, memaklumkan kepada mereka bahawa beliau lebih suka Palanivel menjadi timbalannya.
Samy Vellu juga berkata beliau mahu mereka yang boleh bekerja dalam satu pasukan mengisi jawatan di peringkat kepimpinan tertinggi parti bagi membolehkan semua dasar dan program berjalan lancar.

